‘Kedudukan tinggi belum tentu dijamin selamat dijangkiti Covid-19’

0
183

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Semua individu diminta memberi kerjasama kepada petugas barisan hadapan kesihatan untuk menjalankan pemeriksaan berkaitan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, virus Covid-19 tidak mengenali mangsa, sesiapa sahaja berisiko mendapat jangkitan.

“Covid-19 tak kenal dari kayangan atau dari bumi, mereka tak kenal siapa. Tak ada siapa yang boleh dibezakan oleh Covid-19 ni. Walaupun kaya raya pun tidak terkecuali daripada jangkiti oleh Covid-19,” katanya pada sidang akhbar harian pelaksanaan PKP di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini terdapat rintihan oleh pihak kesihatan mendakwa golongan yang digelar ‘golongan dari kayangan’ iaitu yang baru pulang dari luar negara tidak memberikan kerjasama kepada mereka untuk menjalankan tugas.

Malah, terdapat dakwaan ada antara petugas kesihatan dicaci dan dimaki serta dilemparkan dengan kata-kata kesat kerana enggan menjalani kuarantin wajib seperti yang diarahkan oleh kerajan.

Menurut Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, terdapat tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka yang enggan memberikan kerjasama kepada petugas kesihatan.

“Dari segi undang-undang saya percaya mungkin ada di bawah kesalahan menghalang penjawat awam untuk menjalankan tugas masing-masing. Saya percaya ini boleh digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pihak terutama mereka yang berkedudukan tinggi supaya memberikan kerjasama kepada petugas kesihatan.

“Mereka yang berkedudukan tinggi sepatutnya lebih bertamadun daripada orang lain. Jadi, berikanlah kerjasama kepada petugas-petugas ‘frontliner’ seperti doktor, jururawat dan sebagainya.

“Kedudukan tinggi tidak menjamin mereka terselamat daripada Covid-19,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here