Kempen BMF: Kalau bukan kita lakukan perubahan, siapa lagi?

0
674

CYBERJAYA – Kempen Beli Produk Muslim atau lebih dikenali BMF dilancarkan sejak setahun lalu boleh dikatakan hanya masyarakat beragama Islam yang bersungguh-sungguh menyokong tetapi tidak kepada segelintir pemimpin politik setelah mendapat kuasa.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Prasarana BMF Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Mohd. Nor Izzat Mohd. Johari dalam akaun Facebook miliknya yang kecewa dengan sikap pemimpin terbabit kerana membeli barangan bantuan di kedai bukan Muslim.

Dalam hantaran menerusi akaun media sosialnya itu, beliau melihat kedua-dua pemimpin itu tidak mempunyai jiwa yang sebati dalam memperkasakan produk Muslim.

“Malangnya kenapa tak buat? Sebab jiwa itu tak sebati lagi dengan BMF! Jiwa itu bukan pejuang sebenar BMF! Hanya nak mempergunakan sahaja BMF.

“Maaf cakap, Jawatankuasa Kempen BMF Malaysia terlalu letih nak memperjelaskan bahawa BMF bukan kempen politik tetapi majoriti orang politik Islam menyokong kempen BMF atas dasar Islam,” katanya yang kesal dengan sikap pemimpin berkenaan.

Dalam hantaran itu beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Izzat Johari berkongsi gambar kedua-dua pemimpin berkenaan yang membeli barangan bekalan asas di sebuah pasar raya dan pasar mini bukan Muslim untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan.

Menurut beliau, seorang pemimpin yang membeli barangan di sebuah pasar raya di Jerantut sepatutnya berbuat demikian di dua buah pasar mini milik Muslim daerah itu.

“Beliau datang ke Jerantut tetapi membeli barangan bantuan keperluan asas  di pasar raya bukan Muslim yang telah diboikot semasa gelombang BMF tular ke seluruh Malaysia.

“Untuk makluman pemimpin itu di Jerantut, kita ada Pasar Raya Darul Makmur, kita ada Lesong Mart yang menyediakan keperluan asas untuk tujuan barangan bantuan.

“Orang yang mengiringi di Jerantut tak maklumkah? Kalau dah tahu pemimpin itu nak turun ke Jerantut, tak boleh tempah awalkah? Kalau datang mengejut, tak boleh beli di dua kedai ini kah? Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih,” tegasnya.

Beliau berkata, isu di Perak pula melibatkan seorang pemimpin yang menyebabkan punca kempen BMF dilarang diadakan di masjid kerana menggunakan pentas BMF untuk kempen politik dan akhirnya telah mendapat nama busuk di negeri itu.

“Akhirnya, jelaslah sikap mereka bahawa hanya hangat-hangat tahi kambing!.  Beli borong barangan asas di kedai bukan Muslim. Pasar Raya Mydin ada, Amirul Mart ada. Kalau nak borong, boleh cari jauh sikit tapi puas hati membeli di kedai dan pasar raya Muslim,” katanya.

Beliau mengingatkan kepada kerajaan Pusat dan negeri serta semua agensi berkaitan supaya mengutamakan produk Muslim dalam memberi sumbangan barangan keperluan harian.

“Inilah kaedah utama jika mahu kembalikan ekonomi Malaysia menjadi stabil selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here