Kenapa degil sangat ni?

0
207
Kenderaan pelbagai jenis berbaris panjang di hadapan IOI Mall hari ini

BERMULA esok, seluruh rakyat Malaysia terpaksa menyambung dua minggu lagi tempoh duduk di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak dapat tidak mesti dilanjutkan juga.

Yang pasti ramai tidak menjangka PKP yang pada asalnya hanya untuk tempoh dua minggu bermula 18 Mac lalu disambung untuk tempoh sebulan pula.

Paling menjadi persoalan selepas PKP fasa ketiga ini dilanjutkan ialah bagaimana tahap pematuhan rakyat. Adakah masih patuh atau kembali degil untuk keluar rumah?

Dalam satu video yang penulis terima melalui kumpulan WhatsApp petang tadi menyebabkan penulis tepuk dahi. Manakan tidak, video yang dirakam dari udara ini
menunjukkan kereta berbaris panjang sebelum melepasi sekatan jalan raya di hadapan pusat beli belah IOI Mall, Puchong.

Sepatutnya selepas memasuki sebulan PKP dikuatkuasakan, semua pihak faham dan patuh arahan dikeluarkan kerajaan tetapi sebaliknya pula berlaku.

Beribu-ribu kenderaan berada di atas jalan raya sehingga menimbulkan persoalan, adakah terdapat sektor bukan memerlukan atau yang bukan menyediakan perkhidmatan asas beroperasi seperti biasa?

Malah, penulis sendiri juga pernah beberapa kali berhadapan dengan segelintir rakyat Malaysia yang sengaja buat-buat pekak dan tidak mematuhi peraturan ditetapkan sepanjang PKP dikuatkuasakan ketika keluar membeli barangan makanan.

Antara yang penulis dapat lihat sendiri ialah masih ada yang pergi ke pasar raya bersama keluarga dan tidak mengendahkan soal penjarakan satu meter.

Perkara ini penulis pernah suarakan sendiri kepada salah seorang pekerja di pasar raya berkenaan apabila melihat ada yang masuk dengan membawa pasangan masing-masing dan ada juga yang bawa anak sebagai teman walaupun ibu bapanya nampak cukup sifat dan tiada kecacatan sehingga perlukan bantuan orang lain untuk memimpin tangan.

Namun jawapan pekerja berkenaan sangat mengecewakan:-

“Saya tidak boleh buat apa-apa sebab mereka beratur asing-asing sebelum masuk ke pasar raya,” ujarnya sambil cuba membela diri.

Penulis hanya mampu geleng kepala dan menjawab semula, kenapa tidak ditegur bila nampak mereka bergandingan membeli barangan sebelum berlalu meninggalkan pekerja berkenaan.

Itu belum lagi kisah golongan kayangan yang dikongsi oleh petugas kesihatan sendiri. Golongan ini sangat mementingkan diri sendiri meskipun negara berada dalam keadaan getir dan sukar. Mungkin belum bertemu buku dengan ruas, sebab itu agak sukar hendak memahamkan puak-puak ini.

Melihat sendiri situasi begini, penulis terpikir, kenapa situasi seperti ini berlaku. Adakah rakyat sudah tidak kisah jika dijangkiti Covid-19, atau sudah tidak makan dek nasihat atau pun adakah hukuman yang dikenakan masih terlalu rendah?

Cuma penulis berharap bermula esok fasa ketiga PKP dikuatkuasakan, kerajaan dapat bertindak tegas terutamanya kepada mereka yang masih berdegil dan tidak mahu mematuhi arahan.

Jangan kerana segelintir orang ini, yang lain terpaksa menanggung akibatnya. Jadi, lebih baik haria sahaja mereka ini sebelum semuanya terlambat. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here