Keputusan taska boleh dibuka dibincang esok

0
129

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia untuk membenarkan taska-taska untuk beroperasi semula sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat sekiranya pemilik premis tersebut patuh kepada garis panduan yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata, berikutan itu usul bagi pembukaan semula taska itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), esok.

“Apa yang penting ialah kita mematuhi garis panduan KKM, sama ada bagi taska, restoran atau institusi.

“Garis panduan sudah ada. Kalau taska itu boleh mematuhi garis panduan, tidak ada masalah. Bagaimanapun, itu kita kena pastikan dulu,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan bersedia untuk membenarkan taska dibuka semula susulan beberapa sektor ekonomi dibenarkan beroperasi sepenuhnya dalam PKP fasa keempat.

Langkah itu sekali gus menyebabkan ibu bapa yang bekerja perlu meletakkan anak-anak pra sekolah mereka ke bawah jagaan taska yang terpaksa ditutup ekoran penularan Covid-19 dan langkah penguatkuasaan PKP sejak 18 Mac lalu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here