Kerajaan bertindak atas nasihat KKM

0
111

PUTRAJAYA – Keputusan mengenai penyambungan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan ditentukan mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang keperluan untuk melaksana atau meneruskan PKPD bergantung kepada nasihat KKM.

“Kita serahkan kepada KKM untuk menasihatkan kerajaan. Insyallah selepas menerima nasihat, kerajaan akan membuat keputusan mengenainya.

“Setakat ini belum ada lagi nasihat dan tiada perbincangan (penyambungan PKPD) dalam mesyuarat khas menteri-menteri setiap pagi,” katanya dalam sidang media kementerian itu di sini hari ini.

Sementara itu Ismail berkata, PKP akan diteruskan sehingga 14 April ini selagi tidak ada sebarang pengumuman lain.

Tambah beliau, sekiranya PKP dilanjutkan, kerajaan akan mengumumkan perkara itu apabila tiba masanya.

“Kita akan umumkan kemudian dan kita ada persediaan termasuk untuk pasca PKP,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya PKP ditamatkan, rakyat tidak terus bebas seperti biasa sebaliknya perlu mematuhi prosedur operasi standard ( SOP) yang ditetapkan.

“Sebagai contoh, perhimpunan yang besar tetap tidak dibenarkan, ada cadangan supaya konvokesyen dan sebagainya tetap tidak dibenarkan,” katanya.

Ditanya mengenai kebenaran sektor perkilangan beroperasi di kawasan PKPD, Ismail berkata tiada apa-apa sektor diibenarkan untuk beroperasi kerana perintah itu bersamaan dengan total lockdown.

“Bila kita kata PKPD, ia ibarat total lockdown maknanya tiada apa aktiviti yang boleh dilakukan di dalam kawasan tersebut seperti di Simpang Renggam dan Hulu Langat, tak boleh keluar dan masuk,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here