Kerajaan tidak lupakan rakyat Malaysia di luar negara

0
83

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

PUTRAJAYA – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, kerajaan tidak mengetepikan rakyat negara ini yang berada di luar negara berikutan kesukaran dihadapi akibat penularan Covid-19 di seluruh dunia.

Beliau berkata, bagaimanapun bagi rakyat yang bekerja dan melanjutkan pengajian di luar negara dinasihatkan untuk terus kekal di negara mereka berada.

“Ada dua kategori rakyat kita berada di luar negara iaitu bekerja dan belajar serta dinasihatkan supaya berada di negara tersebut.

“Tapi bagi rakyat yang terkandas, Kementerian Luar akan berbincang sama ada mereka ini dibawa pulang seperti yang telah kita laksanakan baru-baru ini di mana terdapat rakyat yang terkandas di India dan di Mesir kita bawa balik. Memang kita akan beri perhatian kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, bagi rakyat yang menetap atau pelajar di luar negara pula, Kementerian Luar akan menetili usaha yang boleh dilaksanakan agar bantuan dapat diberikan kepada mereka terlibat.

“Ada rakyat kita yang bekerja di negara-negara luar yang jumlahnya tidak besar, contohnya semalam saya dapat mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada rakyat yang berada di Afrika iaitu seramai tujuh orang, jadi yang itu sedang dilihat secara teliti oleh Kementerian Luar.

“Ada juga berada di Bahamas iaitu seramai tiga orang, takkan kita nak hantar satu pesawat untuk bawa mereka pulang, tapi mungkin ada cara lain akan dilaksanakan oleh Kementerian Luar.

“Insya-Allah rakyat kita yang berada di negara mana sekalipun kerajaan tetap akan berikan perhatian kepada mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here