Kerinduan ibu bapa terubat, pelajar IPT dibenarkan pulang

0
121

CYBERJAYA – Kerajaan memberi sedikit kelonggaran memutuskan membenarkan pelajar yang tinggal di institut pengajian tinggi (IPT) dibenarkan pulang ke keluarga masing-masing.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu diambil berikutan penurunan kes Covid-19 yang ketara dan berharap trend tersebut akan berterusan.

Menurut beliau, proses membawa pelajar IPT pulang sedang dirancang oleh kerajaan dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pelajar-pelajar yang masih berada di kampus, yang mana di peringkat awal dahulu mereka tak dibenarkan pulang kerana keadaan masih belum menentu dan kita hendak pastikan mereka selamat, Insya-Allah boleh pulang ke rumah masing-masing sedikit masa lagi. 

“Jumlah pelajar yang terlibat adalah besar, iaitu hampir 100,000 orang. Jadi kita mesti rancang pergerakan mereka dengan teliti untuk pastikan ia teratur dan tidak menyebabkan risiko jangkitan,” katanya ketika berucap menyampaikan perutusan khas sebentar tadi.

Menurut Perdana Menteri, sebelum dibenarkan pulang, semua pelajar itu akan dipastikan benar-benar sihat dan tidak mempunyai gejala Covid-19. 

Beliau juga meminta ibu bapa pelajar bersabar bagi memberi masa kepada kementerian berkaitan menguruskan perkara itu.

“Saya tahu anda (ibu bapa) semua rindukan anak masing-masing. Insya-Allah, dalam sedikit masa lagi, anak-anak anda dah boleh berada di rumah. Yang penting mereka semua boleh pulang dengan selamat,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here