Kes positif Covid-19 di Selangor Mansion meningkat lagi

0
163

CYBERJAYA – Sebanyak 20 lagi kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di lokaliti Selangor Mansion hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu itu menjadikan secara keseluruhan sebanyak 166 kes positif dilaporkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) itu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 150 pesakit merupakan warganegara asing.

“Lokaliti lain iaitu di bawah PKPD Malayan Mansion terdapat pertambahan tiga kes menjadikan secara keseluruhan tujuh kes yang mana enam kes melibatkan warganegara asing.

“Lokaliti di sekitar Masjid India kekal dengan tiga kes dan semua bukan warganegara tempatan manakala di Menara City One kekal dengan 51 kes dan 37 daripadanya merupakan warganegara asing,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, keempat-empat lokaliti PKPD itu mempunyai kes indeks pertalian dengan perhimpunan di Masjid Sri Petaling yang dihadiri oleh pekerja asing.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi kawasan PKPD Sungai Lui terdapat pertambahan satu kes melibatkan Madrasah Nabawiyah menjadikan jumlah keseluruhan kes menigkat kepada 158 kes.

Beliau berkata, di Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Selayang pula mencatatkan pertambahan 10 kes baharu menjadikan secara keseluruhan 46 kes positif.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 35 kes melibatkan pekerja warganegara asing.

“Setakat ini sebanyak 11,177 ujian saringan telah dilaksanakan di Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Selayang,” katanya.

Sementara itu, katanya, di kawasan PKPD Bandar Baru Ibrahim Majid jumlah kes positif Covid-19 kekal 193 kes.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here