Kesusahan lalu dorong Ebit Lew bantu orang

0
218

CYBERJAYA – Kesusahan hidup yang pernah dilalui dan pengalaman terlibat dalam aktiviti khidmat sosial sejak berusia 12 tahun menjadi kunci kegigihan Ebit Lew terus berbakti kepada masyarakat.

Melalui hantaran akaun Facebook miliknya semalam, penceramah bebas itu berkongsi pahit manis yang dilaluinya sehingga sanggup menghabiskan masa dan wang ringgit ke jalan Allah.

Perkongsian yang dibuat selepas menyatakan hasrat untuk ‘berehat’ itu menerima pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-rata mendoakan beliau terus diberi kesihatan.

“Pohon doa semua yer…nak rehat dulu. Orang tanya saya kenapa ustaz buat semua ini.

“Syukur semuanya kerana Allah. Cuma nak Allah sayang. Allah sayang. Tiada daya upaya melainkan dengan pertolongan Allah,” katanya.

Berkongsi pengalamannya, Ebit berkata, segala usaha dilakukan adalah untuk berkongsi rezeki yang diberikan Allah dengan harapan dapat mengurangkan beban golongan yang hidup susah.

“Dulu-dulu saya susah. Kadang ada orang selit RM2 dalam poket. Rasa seronok sangat. Selalu lapar dan susah. Satu hari Allah beri rezeki saya mencurah-curah,” kata beliau dalam hantaran yang dikongsi lebih 37,000 pengikutnya itu.

Namun sebelum diberikan rezeki yang ‘mencukupi’ dari Allah, beliau mengaku telah melalui pelbagai ujian sehingga ada masanya terpaksa tidur di masjid dan seringkali menangis kerana kelaparan.

“Saya selalu menangis bila lapar tapi saya doa hidayah. Menangis kuat-kuat dalam doa minta hidayah. Best menangis dalam doa,” katanya.

Antara rezeki awal yang diberikan Allah kepada Ebit Lew adalah melalui perniagaan Restoran Paramount Coffee House yang mendapat sambutan baik sehingga mempunyai tiga cawangan.

Beliau juga pernah menulis sembilan buah buku motivasi kekeluargaan yang sebahagiannya masih berada dalam rangking ‘top seller’.

Kemudian katanya, beliau meluaskan perniagaan dengan pembukaan butik jubah Elews Design, penganjuran seminat dan latihan motivasi.

“Tiga hari jer rehat duduk rumah dalam sebulan. Saya mula melabur sedikit sebanyak sana sini. Kini pun 56 kakitangan tetap saya semuanya cuti bergaji lagi,” katanya.

Mengulas perkembangan wabak Covid-19 ketika ini, Ebit berkata, ujian yang datang itu adalah peluang untuk dirinya menggunakan rezeki dan tenaga ke jalan Allah.

“Diri, harta, masa semuanya milik Allah. Mungkin cuma sekali ini peluang Allah beri pada saya. Siapa tahukan.

“Syukur ramai juga kawan-kawan dari merata tempat bersama saya dengan doa, sokongan, tenaga dan juga wang ringgit. Dari pelbagai bangsa dan agama,” katanya.

Ebit berkata, peluang yang datang itu iaitu Covid-19 wajar digunakan untuk membina sebuah keluarga yang dirahmati Allah dan segala kebaikan dilakukan bersama semua itu menjadi asbab rahmat Allah ke seluruh alam.

“Semoga Allah angkat Covid-19 ini,” katanya.


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here