Ketua keluarga sanggup cari bawang!

0
414

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19 di Malaysia peranan ketua keluarga dalam segala hal menjadi keutamaan.

Sampaikan si isteri menjerit memberitahu “bawang kita sudah habis bang”, ketua keluarga  jugalah seperti cacing kepanasan menyiapkan diri lengkap bertopeng penutup mulut siap bersarung tangan seludup keluar ke kedai semata-mata mencari sekurang-kurangnya seulas bawang.

Nampak seperti lucu tetapi itulah yang sedang berlaku kepada setiap ketua keluarga di negara kita malah di dunia kerana suasana kini bagaikan rumah dikepung oleh pasukan tentera keselamatan demi menyelamatkan nyawa setiap rakyatnya.

Gelagat itu sebenarnya banyak dikongsikan dalam media sosial di mana kaum bapa kini benar-benar mengambil alih tugas kebanyakan ibu mencari barang dapur.

Kerana sebab itu juga, ramai bapa di luar sana termasuk selebriti, ahli sukan malah ahli korporat sanggup ke dapur mencuba pelbagai resipi mudah bagi membuktikan mereka ini benar-benar bertanggungjawab dan serba boleh.

Bayangkan aksi seorang pelawak terkenal memuat naik video pendek di Instagramnya ketika sedang menggoreng cucur yang dipanggil “welcome-welcome” berjaya tular di media sosial.

Aksi itu dirakam sehingga menjadi bahan usikan warga maya yang melabelnya sebagai seorang suami dan lelaki yang hebat beraksi di dapur.

Bagaimanapun, penulis bukan mahu mengupas topik masakan, tetapi berkongsi di mana kaum bapa hari ini sudah kembali ke landasan sebenar, pendek kata sudah ramai yang bertanggungjawab.

Melalui perkongsian ramai di media sosial memasuki fasa kedua PKP untuk hari pertama hari ini, pelbagai cerita  kemeriahan di dalam rumah di kongsi walaupun sebelum ini terdapat perkongsian mereka berdepan kesusahan  apabila ketua keluarga kadang kala terlupa akan peranan mereka.

Bagaimanapun dalam tempoh ini penulis lihat di Facebook sahaja pelbagai kebolehan sang suami masih dikongsikan sehingga menjadikan keharmonian dalam rumah tangga benar-benar terjalin.

Malah, penulis percaya apabila pengumuman tempoh PKP dilanjutkan ke-14 hari lagi sudah pasti akan timbul perasaan resah seorang ketua keluarga apabila terpaksa memikirkan pula kedudukan kewangan sekiranya masih tidak boleh keluar bekerja.

Kaum bapa yang mencari rezeki kais pagi makan pagi itu bakal berdepan dengan satu cabaran besar lagi sekiranya wabak jahat ini masih tidak pulih.

Siapa kata ketua keluarga tak ambil peduli isteri dan anak-anak mereka. Inilah masa sesuai golongan ini diangkat sebagai ketua keluarga yang menjaga ahli keluarga sebaik mungkin.

Jadi, benar kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa beliau mahukan rakyat Malaysia patuh arahan supaya kekal duduk di rumah.

Benar kata, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Ismail Sabri yang turut menasihatkan rakyat terus berada di rumah jika hendak berhari raya.

Benar kata Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah pula yang merayu supaya putuskan rangkaian penularan Covid-19 dengan segara.

Ini semua cakap-cakap dari seorang ketua, bukan hanya sebagai ketua  dalam keluarga mereka tetapi sebagai ketua dalam memimpin rakyat jelatanya supaya patuh dengan arahan.

Jadi, FB2 (fikir baik-baik…) kerana apa mereka ini  mahu ketua keluarga sahaja yang keluar membeli barang keperluan harian?- MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here