Kita terus dicemburui Indonesia

0
1919

MESKIPUN masih terlalu awal untuk memuji, pencapaian negara dalam menangani penularan wabak Covid-19 pada ketika ini sudah menunjukkan kesan positif malah diiktiraf antara yang terbaik di dunia.

Teruji ketika negara sedang mengalami pertukaran arus politk, keupayaan kita menangkis serangan Covid-19 melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuktikan tahap kesiapsiagaan barisan perkhidmatan awam negara.

Kecekapan pemerintah meletakkan kepercayaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan agensi-agensi pihak berkuasa memberi seribu satu hikmah kepada negara.

Langkah dan juga persediaan itu menjadi kunci kejayaan kawalan pergerakan orang ramai di negara ini yang tidak mencetuskan panik dan kelam kabut seperti di beberapa buah negara.

Pada peringkat ini, kita rakyat Malaysia seharusnya bersyukur selain perlu terus patuh. Pada masa yang sama kita juga boleh sedikit berbangga dengan disiplin masyarakat kita biar pun masih ada yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kecekapan pengurusan kerajaan Malaysia baru-baru ini mendapat perhatian saluran YouTuber Indonesia, Macan Idealis yang memuji ‘kedudukan’ Malaysia dalam pelbagai aspek.

Melalui sesi temubual dengan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) kelahiran Indonesia, Prof. Dr. Irwandi Jaswir, komen daripada rakyat Indonesia jelas menunjukkan mereka ‘mencemburui’ pencapaian Malaysia.

Irwandi berkata, walaupun baharu sahaja pulih daripada pergolakan politik, kecekapan dan keprihatian kerajaan melalui pelbagai langkah dan inisiatif yang diumumkan menyebabkan rakyat berdiri teguh di belakang pemimpin.

Kesatuan rakyat itu juga katanya tidak memberi banyak ruang kepada pembangkang untuk memutar belit isu yang pastinya akan memakan diri dan dianggap sebagai menangguk di air keruh.

Tanpa menyentuh banyak mengenai politik, Irwandi yang sudah puluhan tahun bermastautin sebagai pensyarah dalam bidang bioteknologi di negara ini merumuskan ’empat kejayaan besar’ Malaysia yang wajar dicontohi.

“Pertama adalah penyelarasan sumber maklumat yang baik atau kematangan dalam pengurusan komunikasi risiko yang tidak ada percanggahan.

“Kedua adalah perkongsian maklumat dan statistik kes Covid-19 yang disiarkan secara telus untuk memudahkan rakyat memahaminya.

“Ketiga pula, jaminan kerajaan mengenai bekalan makanan yang sentiasa cukup bahkan rakyat masih berbelanja seperti biasa tanpa rasa panik.

“Keempat dan terakhir tentunya Pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin yang menyediakan banyak manfaat kepada golongan kurang pendapatan di negara ini,” katanya.

Bahkan berita mengenai pemberian inisiatif tunai, pengeluaran Wang Kumpulan Simpanan Pekerja dan penangguhan bayaran bank ternyata mengejutkan hos Macan Idealis dan rakyat Indonesia yang tidak menikmati kemudahan seumpama itu di negara mereka.

Di hantaran video persidangan Youtube itu, rakyat Indonesia membanjiri komen-komen memuji kerajaan Malaysia dan berharap kerajaan mereka mengikuti langkah yang sama.

“Waktu paling tepat Perdana Menteri Malaysia ambil alih pemerintahan.Cara dia berucap menyampaikan kepada rakyat seperti ayah kepada anaknya, terserlah rasa sayangnya kepada rakyat, semoga Allah panjangkan umurnya dan dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, amin. Semoga Presiden Indonesia bisa mengikuti jejak langkah yg sama, amin,” kata Awang Adeng.

“Malaysia sering membingungkan Indonesia. Makin diketahui makin aneh. Seperti apa Malaysia ya? Biar sering dijelik-jelik dihina, malah jalan terus,” kata Norasrianuar Asrianuar.

“Saya bangga dengan segala keanekaragaman Indonesia, tapi jadi iri hati kalau lihat negara lain yang lebih baik membimbing dan mencintai rakyatnya,” kata seorang lagi pelayar.

MENGEJUTKAN !! Beginilah Kondisi Terkini Di Malaysia
Saluran YouTuber Indonesia, Macan Idealis yang memuji ‘kedudukan’ Malaysia melalui sesi temubual dengan pensyarah UIAM kelahiran Indonesia, Prof. Dr. Irwandi Jaswir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here