
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan akan menilai keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua beberapa hari sebelum perintah berkenaan berakhir.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun beliau menyatakan ada keberkesanan sebelum ini namun, ia masih terlalu awal.
“Fasa kedua PKP akan berakhir 14 April, tetapi beberapa hari sebelum ia berakhir kita akan melihat keberkesanannya berdasarkan data yang kami miliki.
“Walaupun semalam saya kata ada petunjuk awal mengenai keberkesanan tindakan yang diambil, bagaimanapun ia terlalu awal untuk kita buat sebarang kesimpulan.
“Apa yang penting dalam tempoh ‘crucial’ dua minggu ini kita melandaikan puncak jangkitan sehingga dapat jangkakan tiada jangkitan Covid-19 di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain katanya, pihaknya perlu memastikan keupayaan hospital berfungsi dengan baik untuk menyediakan perkhidmatan kepada pesakit.
“Jika dilihat hari ini, pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat. Jadi, kita peru tingkatkan keupayaan hospital dan menyediakan perkhidmatan yang baik kepada pesakit,” katanya.-MT