KKM belum umum kluster kecil, giat beri rawatan terbaik

0
151

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata,
walaupun kluster yang terbesar adalah Seri Petaling iaitu kira-kira 40 peratus daripada jumlah keseluruhan direkodkan, kluster kecil masih belum diumumkan lagi.

Menurutnya, terdapat 25 kluster dan sub-kluster yang dikategorikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan dengan jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Kluster lain juga sudah kita kenal pasti. Kluster besar sudah kita umumkan, kluster kecil belum diumumkan lagi namun pihak KKM memantau dan mengambil tindakan sewajarnya membabitkan pengesanan, pengujian, pengasingan serta memberi rawatan terbaik kepada kluster itu.

“Bagaimanapun, pesakit dijangkiti Covid-19 adalah tidak sama dengan pesakit HIV/AIDS yang menjejaskan ketahanan dan tindak balas ketahanan badan,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, terdapat tujuh koronavirus menjangkiti manusia dan yang terkenal sebelum ini seperti Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) serta Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

Katanya, Covid-19 ialah virus baharu membabitkan dua peringkat jangkitan.

“Ia tidak sama dengan HIV/AIDS. Bagi Covid-19, peringkat pertama adalah jangkitan dan peringkat kedua iaitu inflamasi atau keradangan.

“Kita cuba elakkan jangkitan masuk ke dalam rongga paru-paru dan sebagainya sebab virus itu akan masuk dalam sel.

“Reaksi dari dalam badan akan mengakibatkan keradangan. Apabila berlaku keradangan, ini yang boleh membawa maut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here