KKM garis 6 kriteria sebelum PKP ditamatkan

0
448
Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan menggariskan enam kerangka penting yang perlu dilaksana dan dicapai sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, enam kriteria tersebut perlu diamalkan oleh setiap kementerian dan jabatan untuk memastikan kerajaan dapat melancarkan ‘strategi jalan keluar’ menentang Covid-19.

Ia adalah kawalan keselamatan, kawalan pergerakan, kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan norma baharu dan kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti.

“Ini hanyalah rangka dan kita masih di peringkat perbincangan untuk pelaksanaannya,” katanya dalam sidang akhbar harian kementerian itu di Putrajaya hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, perkara pertama yang perlu diberi perhatian adalah aspek kawalan sempadan yang perlu diteruskan untuk mencegah kemasukan kes-kes baharu melalui sempadan.

“Misalnya sekarang, 95 daripada warga Malaysia yang pulang ke negara ini
disahkan mengidap penyakit tersebut.

“Daripada jumlah itu, 68 daripada mereka yang kembali Indonesia, United Kingdom (12), Singapura (5), Turki (4), Belanda (3)Perancis (1) dan Amerika Syarikat (1),” katanya.

Kedua menurut Dr. Noor Hisham, adalah kawalan pergerakan untuk mengelak jangkitan dari individu ke individu lain terutama melibatkan kawasan yang sempit dan sesak seperti dalam perhimpunan.

Ketiga katanya, kerajaan perlu melihat kepada persediaan sistem kesihatan negara terutama dari segi keupayaan makmal untuk mengesan, jumlah wad dan Unit Rawatan Rapi.

Tahap persediaan itu menurutnya, adalah sebahagian daripada indikasi yang perlu ada sebelum PKP ditamatkan.

“Ada banyak kriteria yang perlu ada, misalnya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan piawaian tempoh pengesanan antara 24 hingga 48 jam melalui ujian PCR.

“Sebolehnya kita mahu mengurangkan tempoh ujian PCR sehingga kurang daripada 24 jam,” jelasnya.

Kriteria keempat adalah keupayaan tindakan untuk melindungi golongan yang berisiko tinggi contohnya golongan yang berusia, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang menjalani rawatan.

Kelima katanya, adalah apabila rakyat sudah mula mengamalkan norma-norma baharu seperi penjarakan, sentiasa cuci tangan dan mengelakkan perhimpunan.

Menurut Dr. Noor Hisham, yang keenam dan paling penting adalah bagaimana masyarakat dapat bersama-sama membantu KKM mengenal pasti kawasan berisiko dan untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan dalam komuniti tersebut. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here