KKM kesan dua sub kluster berkait di Kuantan

0
168

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti dua sub-kluster saling berkaitan di Kuantan, Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster ‘Person Under Investigation’ (PUI) Bali di Kuantan ini adalah satu kluster melibatkan golongan pesakit dan beberapa anggota kesihatan dari sebuah pusat perubatan di Kuantan.

Menurutnya, susulan aktiviti tertumpu (targeted approach) yang telah dijalankan oleh KKM melalui pengesanan, penyaringan, ujian ke atas kumpulan sasar yang berisiko tinggi.

“Sehingga hari ini 20 orang telah dikenal pasti dalam kluster ini iaitu, 14 orang sedang dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang. Dua orang telah sembuh, tiga dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan seorang telah meninggal dunia (kes ke-1,575),” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, daripada keseluruhan jumlah tersebut, terdapat tiga anggota kesihatan yang terlibat dalam kluster ini.

Jelasnya, kes indeks (iaitu kes ke-4,684) bagi kluster itu mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia.

“Beliau kemudiannya mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1, 575 iaitu abang kepada kes indeks. Kes ke-1,575 kemudiannya telah menjangkiti 7 kes generasi kedua dan 11 kes generasi ketiga,” katanya.

Dalam pada itu, terdapat 339 kontak rapat telah dikenal pasti dan ujian saringan Covid-19 telah dijalankan, termasuk 202 anggota kesihatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here