KKM perkenal Temujanji Dalam Talian di Klinik Kesihatan

0
1739

CYBERJAYA – Orang ramai yang mahu membuat temujanji dengan klinik kesihatan tidak perlu lagi mengunjungi premis itu sebaliknya melakukan dengan mendaftar dalam talian sahaja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sistem yang dikenali Temujanji Dalam Talian itu merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan (KKM) dengan empat syarikat bagi melaksanakan perkara tersebut.

Tambah beliau, empat syarikat tersebut ialah Queuemed, EncoreMed, Bookdoc dan Doctoroncall itu sebagai alternatif untuk mengurangkan isu kesesakan di klinik-klinik kesihatan bagi tujuan penjarakan sosial semasa pandemik Covid-19.

Beliau berkata, melalui sistem baharu itu, pelanggan boleh memilih slot waktu temujanji untuk datang ke klinik kesihatan KKM bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Khusus bagi pandemik penyakit Covid-19 di mana penjarakan sosial perlu diamalkan, adalah diharapkan pelaksanaan sistem ini dapat membantu mengatasi isu kesesakan dan masa menunggu yang lama di klinik kesihatan,” katanya menerusi hantaran akaun Facebook miliknya sebentar tadi.

Terdahulu pada petang tadi, satu memorandum persefahaman (MoU) antara KKM yang diwakili Dr. Noor Hisham bersama empat syarikat terbabit bagi menyediakan perkhidmatan Temujanji Dalam Talian dan Webinar for Covid-19.

Dr. Noor Hisham menambah, Webinar For Covid-19 pula merupakan satu kerjasama antara BookDoc dan KKM untuk menyalurkan informasi kesihatan yang tepat serta terkini berkaitan wabak itu yang sedang melanda negara.

Beliau berkata, ia merupakan saluran alternatif untuk orang awam yang mana ia melibatkan sesi soal jawab secara web-based bersama pakar perubatan kesihatan awam dan pegawai perubatan KKM serta pegawai dalam kategori lain seperti Dietetik.

“Kedua-dua sistem itu dilaksanakan tanpa melibatkan sebarang kos kepada pihak kerajaan. Inisiatif ini adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada semua syarikat terlibat bagi tempoh tiga bulan dan orang awam boleh mendapatkan maklumat berkaitan melalui portal KKM iaitu www.moh.gov.my dan syarikat terlibat.

Beliau memberitahu, slot bagi sistem Temujanji Dalam Talian akan dibuka dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petng dan senarai klinik kesihatan terlibat boleh dirujuk melalui portal KKM.

“Bagi waktu Webinar pula adalah antara dari pukul 2 hingga 2.30 petang pada Isnin hingga Jumaat. Webinar boleh ditonton melalui sesawang webinar.bookdoc.com,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here