KKM tambah makmal bagi keperluan ujian RT-PCR

0
140

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) telah menambah bilangan makmal yang boleh menjalankan ujian RT-PCR bagi menampung keperluan untuk meningkatkan jumlah ujian.

Ketua pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini sebanyak 43,462 ujian RT-PCR telah dijalankan di mana 3,116 daripadanya adalah positif Covid-19 iaitu dengan kadar 7.2 peratus.

“KKM telah menyediakan 12 hospital sebelum ini dan kita telah tambah dua lagi hospital iaitu Hospital Sibu dan Hospital Queen Elizabeth menjadikan jumlah 14 makmal.

“Di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga ada menyediakan satu makmal selain lima makmal kesihatan awam jadi, jumlahnya kita ada 20 makmal.

“Di pihak swasta pula terdapat tujuh makmal yang boleh melaksanakan ujian tersebut selain satu makmal dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), satu makmal dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 14 dari institusi pengajian tinggi awam serta swasta,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, terdapat makmal yang baharu disediakan untuk melaksanakan ujian RT-PCR belum lagi mencapai keupayaan yang sebenarnya.

“Maksudnya mereka masih boleh tingkatkan kapasiti untuk menjalankan ujian tersebut.

“Jadi kita mengharapkan ke semua 43 makmal dan ada lagi lima makmal yang akan disediakan untuk menjalankan ujian ini dalam tempoh terdekat bagi menampung keperluan kita untuk menggunakan RT-PCR.

“Sasaran kita boleh laksanakan 16,500 ujian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here