KKM terus jalankan pengawasan, kesan kes aktif Covid-19

0
81

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Sebagai langkah pencegahan dan pengawasan, Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan persampelan daripada pesakit yang mempunyai gelaja Influenza Like Illness (ILI) / Severe Acute Respiratory Infection (SARI).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata aktiviti mengesan penularan Covid-19 di kalangan masyarakat setempat di Malaysia itu dilaksanakan KKM sejak awal lagi iaitu bermula 2 Februari 2020 di hospital dan klinik kesihatan.

Menurutnya menerusi aktiviti pengawasan itu, sampel untuk ujian pengesanan Covid-19 akan diambil daripada semua pesakit dengan jangkitan paru-paru (pneumonia).

“Setakat ini terdapat sebanyak 56 kes positif daripada 2,669 sampel yang
telah diambil iaitu 2.1 peratus daripada jumlah sampel kes SARI,” katanya.

Sementara itu katanya, persampelan ILI pula mula dijalankan sejak minggu epidemiologi ke-9 yang bermula pada 23 Februari 2020 membabitkan lapan Klinik Kesihatan terpilih untuk mengenalpasti sekiranya berlaku jangkitan di komuniti.

” Sebanyak lapan kes positif Covid-19 telah dikenalpasti daripada 1,280 sampel yang telah diambil iaitu 0.6 peratus daripada jumlah sampel kes ILI,”katanya.

Menurut Dr. Noor Hisham aktiviti pengawasan ini bertindak sebagai sistem pengesanan awal dan sistem amaran awal kejadian Covid-19 di Malaysia.

” KKM akan terus memperluas dan memperkukuhkan aktiviti survelan Covid-19 di Malaysia. KKM juga telah menggunakan aktiviti pendekatan tertumpu untuk membendung penularan jangkitan,” katanya.

Tambah beliau antara aktiviti yang dilakukan adalah pengesanan di kalangan kumpulan berisiko tinggi misalnya sekolah tahfiz dan pekerja warganegara asing serta penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mana bancian penduduk dan Active Case Detection (ACD) dijalankan dari rumah ke rumah.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here