KKM tumpu 28 kluster Covid-19 di tiga negeri

0
192

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan
(KKM) memberi tumpuan kepada 28 kluster utama Covid-19 di tiga negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa dan berikutan kejayaan kementerian itu menurunkan jumlah kes di seluruh negara.

Beliau berkata, setakat ini pertambahan kes baharu hanya berlaku antara 160 hingga 200 kes setiap hari dan tidak ada peningkatan yang mendadak sehingga 300 kes.

“Alhamdulillah hari ini kita lihat kes turun sehingga 85 kes dan laporan dari negeri-negeri juga sudah berkurangan contohnya di Kedah, Perlis, Pulau pinang dan Kedah dan Terengganu.

“Kini tumpuan kita adalah kawasan di Selangor, Wilayah dan Negeri Sembilan yang akan tertumpu kepada 28 kluster,” katanya dalam sidang akhbar harian di Putrajaya hari ini.

Dr. Noor Hisham memberitahu, salah satu daripada tumpuan kluster tersebut adalah kluster pelajar tahfiz di madrasah yang mempunyai kes positif Covid-19.

Sehubungan itu katanya, KKM akan bekerjasama dengan PDRM dan agensi-agensi lain untuk melakukan saringan ujian kepada pelajar tahfiz.

“Kita dapat maklumat terdapat 8,616 pelajar tahfiz dan setakat ini kita telah melakukan saringan pada 1,376 pelajar di madrasah kerana sebahagiannya sudah pulang ke rumah masing-masing sebelum pelaksanaan PKP,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini terdapat 217 kes positif melibatkan pelajar tahfiz iaitu kira-kira 10 peratus manakala saringan untuk jemaah tabligh adalah kira-kira 8/lapan peratus.

Dr. Noor Hisham berkata, penurunan jumlah kes baharu Covid-19 di seluruh negara adalah hasil daripada tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu katanya, statistik juga menunjukkan kenaikan kes melalui pengesanan kes aktif terutama di beberapa kawasan PKPD.

“Peningkatan kes bukan kerana kita gagal tapi kejayaan kerana kita masuk terus ke kawasan lokaliti atau ‘hotspot’ yang mencatatkan kenaikan mendadak.

“Kita masuk dan terus melakukan ujian, pengasingan dan juga rawatan. Kita berjaya mengesan kes-kes positif yang secara tidak langsung menyebabkan pertambahan kes,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here