KKM yakin angka kes baharu turun kepada satu digit

0
140

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan kadar pengesanan jangkitan kes baharu Covid-19 di negara ini turun kepada angka satu digit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata,
keyakinan itu berdasarkan perkembangan semasa dan kejayaan yang telah dicapai daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa satu dan dua.

Beliau berkata, sasaran kurang daripada 10 kes baharu setiap hari itu dapat dicapai sekiranya orang ramai terus memberikan kerjasama yang baik dan mematuhi pelan perancangan KKM dan kementerian lain.

“Kalau rakyat boleh terus duduk rumah dan KKM bekerjasama dengan kementerian lain mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang dikenal pasti, kita boleh kurangkan (jangkitan baharu) bawah 10 kes,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Malaysia merekodkan jumlah kes positif harian kurang dari 100 sejak 17 April lepas iaitu sebanyak 69 kes dan paras dua angka itu kekal sehingga kini dengan 54 kes (18 April), 84 kes (19 April) serta 36 kes (20 April).

Menurut Dr. Noor Hisham, selepas kejayaan memberangsangkan hasil daripada perancangan dan tindakan dalam tempoh empat minggu lalu, usaha seterusnya yang perlu diberi tumpuan adalah memperketatkan kawalan sempadan mengurangkan kes import.

Katanya, walaupun kemasukan rakyat asing sudah lama dihentikan, kerajaan masih berdepan dengan risiko penularan virus itu melalui kemasukan rakyat warganegara yang pulang dari luar negara jika tidak dikawal dengan baik.

Katanya, setakat ini sebanyak 95 orang warganegara yang pulang dari pelbagai negara disahkan positif Covid-19.

“Kalau kita biarkan (tidak kuarantin), 95 kes ini akan menjangkiti komuniti kerana seorang mungkin boleh menjangkiti 120 individu lain,” katanya.

Menurutnya, sekiranya momentum kerjasama dengan semua pihak termasuk rakyat dapat dikekalkan mengikuti pematuhan sepatunya dengan kekal di rumah, sasaran itu dapat dipenuhi.

“Tidak mustahil untuk kita kurangkan kes tetapi kita perlu tingkatkan tindakan bersama. Ia bergantung kepada rakyat Malaysia dan tindakan barisan hadapan,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here