Kluster Bali: 43 kes positif

0
108

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 43 kes disahkan positif Covid-19 bagi kluster pesakit di bawah pemantauan (PUI) Bali di sebuah pusat perubatan di Kuantan dengan 10 kes daripadanya membabitkan anggota kesihatan.

Menurutnya, sehingga kini, seramai 30 pesakit dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Seramai sembilan orang sudah sembuh dan tiga orang meninggal dunia iaitu bagi kes ke-1,575, kes ke-5,064 serta kes ke-4,129.

“Sebanyak 2,301 ujian saringan Covid-19 sudah dijalankan membabitkan anggota kesihatan dan pesakit dari pusat perubatan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, langkah-langkah kawalan penularan jangkitan Covid- 19 sedang giat dijalankan dengan kerjasama rapat Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk proses pemindahan pesakit ke hospital-hospital KKM yang berdekatan.

” Ini adalah untuk memastikan pusat perubatan tersebut selamat dan diyakini bebas daripada jangkitan Covid-19.

“KKM ingin mengingatkan semua anggota kesihatan kerajaan dan swasta tentang kepentingan untuk menggunakan alat penutup mulut dan hidung terutamanya semasa mengendalikan  kes-kes Influenza Like Illness (ILI) / Severe Acute Respiratory Infection (SARI),”katanya.

Selain itu, ujarnya, pemakaian alat pelindung diri (PPE) yang sesuai semasa melakukan sebarang prosedur klinikal adalah amat penting.

Katanya lagi, semua anggota kesihatan dan barisan hadapan turut dinasihati untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang disarankan terutamanya dalam memastikan tangan sentiasa bersih, mengamalkan jarak sosial di dalam dan luar tempat kerja serta pemakaian PPE mengikut keperluan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here