Kluster Rohingya cabaran di PKPD Pusat Bandar Utara

1
1937
Komuniti Rohingya yang mendiami kawasan rumah kedai bersebelahan dengan Pasar Borong Kuala Lumpur. (Sebelum pelaksanaan PKPD)

KETIKA Covid-19 mula menular di Kuala Lumpur, penulis sedang menyusun beberapa sesi temubual dengan warga Rohingya untuk satu kajian sosial sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Jepun.

Kajian mengenai persepsi dua hala antara penduduk tempatan dengan komuniti pelarian itu bagaimanapun ditangguhkan sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac lalu.

Selang seminggu, saya dihubungi oleh kordinator projek (kajian) yang memberitahu kenalannya iaitu penduduk Rohingya di sekitar Selayang terlibat dalam perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling. Dikatakan kira-kira dua buah bas penuh jemaah hadir ke sana.

Saya sekadar menasihatkannya mendapatkan pertolongan wakil-wakil NGO tempatan yang dikenali untuk memaklumkan perkara itu kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau klinik kerajaan berhampiran.

Tidak lama selepas itu, berita penglibatan jemaah Rohingya dari Selayang dalam perhimpunan tabligh yang mencetuskan kluster penyebaran Covid-19 terawal di negara ini itu disahkan benar.

Dan syukur Alhamdulillah, pada 20 April lalu kawasan penempatan ribuan pelarian Rohingya bersebelahan dengan Pasar Borong Kuala Lumpur itu telah pun diumumkan sebagai zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang merupakan sebahagian daripada PKPD Pusat Bandar Utara.

Penduduk Rohingya menyeberangi tembok yang memisahkan kawasan penempatan mereka dengan Pasar Borong KL.

Berita pengumuman PKPD ke enam itu sudah tentu melegakan kita rakyat Malaysia kerana pengesanan lebih 20 kes positif termasuk satu kematian akibat Covid-19 yang berlaku dalam komuniti Rohingya di situ sesuatu yang boleh mencetuskan ancaman besar kepada negara.

Bukan sahaja dikhuatiri menular dalam kalangan mereka bahkan mengancam keselamatan orang ramai kerana kebanyakan daripada warga Rohingya di situ bekerja sebagai buruh kasar dan peniaga di Pasar Borong KL.

Justeru penutupan kawasan pasar dan sekelilingnya yang melibatkan kira-kira 15,000 penduduk di situ adalah satu langkah yang tepat diambil kerajaan.

Namun cabaran yang bakal dihadapi petugas-petugas barisan hadapan khususnya petugas kesihatan untuk berdepan dengan komuniti Rohingya dan Myanmar Islam di situ bukan tugas yang mudah. Memikirkan perkara itu saya terpanggil untuk berkongsikan cerita ini.

Penulis yang kerap berulang ke kawasan penempatan etnik pelarian itu melihat cabaran terbesar pada kumpulan frontliners kita adalah pada aspek komunikasi memandangkan komuniti berkenaan tidak begitu fasih menguasai Bahasa Malaysia.

Kehidupan yang terpisah dari masyarakat tempatan menyebabkan mereka seolah-olah masih hidup dalam ‘negara’ mereka sendiri, dengan amal dan gaya hidup yang tidak berubah.

Penduduk Rohingya mengunjungi pasar basah pada setiap Ahad di kawasan penempatan mereka bersebelahan Pasar Borong Kuala Lumpur. (Sebelum pelaksanaan PKPD)
Komuniti Rohingya yang merupakan antara tenaga kerja utama di Pasar Borong Kuala Lumpur. (Sebelum pelaksanaan PKPD)

Selain bekerja di pasar borong yang hanya dipisahkan oleh tembok batu dengan kawasan kediaman mereka, masyarakat pelarian yang sudah bertapak sejak puluhan tahun di situ kini sudah mempunyai struktur ekonomi dan sosial mereka tersendiri.

Bahkan kehidupan mereka kini boleh dikatakan sudah lengkap di situ tanpa perlu keluar jauh. Ada kedai runcit, kedai makan, restoran 24 jam bahkan pada setiap pagi Ahad ada pasar basah yang dimonopoli mereka sendiri. Lihatlah sejauh mana sudah mereka berdikari.

Kini walaupun PKPD telah dilaksanakan, cara hidup dan aktiviti harian mereka yang tertumpu di kawasan sempit dan sentiasa duduk secara berkumpulan di situ boleh mengundang risiko jangkitan.

Pada saya cabaran paling utama petugas kesihatan di situ adalah untuk memastikan segenap ahli komuniti faham mengenai ancaman virus, larangan dan arahan yang diberikan kerajaan. Atau dalam kata lain, menjayakan ‘Risk Communication’ dalam komuniti tersebut.

Justeru dalam mengatasi masalah komunikasi (bahasa) ini, penyaluran maklumat dan penglibatan wakil-wakil NGO yang selama ini berhubung dengan masyarakat Rohingya di kawasan itu amatlah penting.

Selain isu bahasa, risiko penularan Covid-19 di penginapan berkluster mereka seperti Selangor Mansion dan Malayan Mansion itu juga dipengaruhi oleh kepadatan isi rumah dalam unit kediaman yang kebanyakannya dikongsi bersama beberapa keluarga.

Walaupun ada rumah kedai yang sudah dipecah mengikut bilik, kebanyakan daripada mereka masih berkongsi bilik air dan dapur yang sama. Keadaan itu sudah pasti menyukarkan lagi usaha membendung jangkitan Covid-19.

Itu belum lagi kita melihat pengaruh budaya mengunyah sirih yang jika tidak dicegah secara mandatori mampu menjadi ‘booster‘ kepada penularan wabak itu.

Lebih berisiko, laluan yang dipenuhi kesan ludahan sirih di sepanjang kaki lima itu jugalah menjadi taman permainan anak-anak mereka di waktu petang. Betapa terdedahnya, anak-anak mereka dalam berdepan ancaman Covid-19 ketika ini.

Bagaimanapun, dalam kesulitan pastinya ada kemudahan. Penempatan Rohingya di kira-kira 25 blok bangunan rumah kedai yang mengelilingi Pasar Borong KL itu jika dilihat dari satu sudut, mempunyai hikmahnya tersendiri.

Penulis tidak mahu meletakkan generalisasi yang terlalu positif seperti yang diberikan kepada kluster tabligh sebelum ini, tetapi kewujudan ‘kluster Rohingya’ yang berpusat di dalam satu kawasan itu sedikit sebanyak memudahkan pihak berkuasa mengepung dan mengawal pergerakan mereka.

Apa pun, kami sebagai orang awam sentiasa mendoakan pasukan barisan hadapan negara dilindungi dan dipermudahkan urusan mereka. -MT

1 COMMENT

  1. X Nak ke cover cerita psl penduduk warganegara Malaysia yg terkandas dlm PKPD di Taman Sri Murni Fasa 1-3, dgn pkpd yg mengejut, tanpa notis.. Penduduk ramai yg habis bekalan makan dn memerlukan bekalan keperluan asas. Bila saudara mara @ rakan nk htr bekalan x dibenarkan, x semua mampu nk sediakan stok mknn utk seminggu, 2 minggu, hr ke-3 bekalan ada diedarkan.. Tp yg dpt hanya sekampit beras 5kg, sepeket tepung 1 kg & minyak masak 2kg (fasa 1&2). Mcm sy sendiri memerlukan bekalan mknn kucing, sy dh oder online tp x leh htr sbb pkpd, dgn lif blok dh rosak seminggu x leh nk turun (duduk tgkt 14).. Mmg bekalan mknn yg ada ni sy jimat.. Harap mendapat perhatian drpd pihak tuan.

    GOVERMENT STAFF

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here