Koperasi bukan bisnes kampung

0
612

RAUDHAH CITY – Aktiviti perniagaan yang dijalankan melalui koperasi tidak boleh dianggap bisnes kampung kerana ia mampu menjana perolehan yang memberi manfaat kepada ahli dan pengguna.

Pejuang ekonomi Islam, Mohd. Fadzil Hashim berkata, beliau mendapat maklumat tentang persepsi orang ramai terhadap koperasi sebagai bisnes kampung.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil menambah, jika dilihat di negara-negara Eropah didapati banyak bank dimiliki oleh koperasi mereka.

“Mungkin sebabnya banyak koperasi di Malaysia memberi pinjaman peribadi. Ini yang menjadikan persepsi yang koperasi sebagai tempat membuat pinjaman.

“Berbeza dengan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM), ia bukan koperasi pinjaman sebab KoPPIM sebuah koperasi strategik untuk ubah sistem ekonomi negara, malah di dunia,” katanya dalam siaran langsung akaun Facebook miliknya.

Coach Fadzil yang juga Pengasas Malakat Mall menambah,  sebagai koperasi, ia boleh mengutip duit, buat pelaburan dan infaq.

Dalam pada itu beliau berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sudah memberi kebenaran kepada KoPPIM untuk mengadakan mesyuarat agung secara dalam talian supaya kita boleh mengemas kini undang-undang kecil koperasi.

“Sesiapa yang masih belum menjadi ahli koperasi, inilah masanya untuk menyertai. Ambil ruang dan peluang. Apa yang berlaku adalah ujian Allah kepada kita untuk menilai apa tindakan kita.

“Kalau kita ikut apa yang Allah tentukan, Insya-Allah kita akan selamat. Tetapi seandainya kita bertindak dengan tidak mengikut apa yang Allah benarkan, maka kita tidak akan selamat,” ujarnya.

Coach Fadzil berkata, beliau tidak mencadangkan orang ramai membeli saham sebagai individu. 

“Yang saya cadangkan ialah kita menyatukan dana yang kita ada di bawah koperasi dan koperasi ambil alih syarikat. 

“Kita membeli untuk mengambil alih pengurusan, bukan semata-mata ingin menjadi pemegang saham majoriti,” katanya.

Jelas beliau, proses untuk melakukannya adalah panjang tetapi akan dapat memaksimumkan peluang yang ada dan sekarang adalah masa untuk mengumpul dana.

Beliau berkata, dengan RM1,000, RM10,000 atau RM100,000, dalam tempoh setahun, nilai gandaannya yang beliau lihat peningkatan sangat tinggi sekiranya orang ramai menyertai KoPPIM.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut atau menyertai KoPPIM boleh layari laman web www.koppim.com.my . – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here