Kuarantin lebih ketat bukti keberkesanan hasil

0
129

CYBERJAYA – Pelaksanaan kuarantin lebih ‘ketat’ yang diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM) terbukti memberikan kesan lebih baik berbanding negara di Eropah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia mengambil langkah yang lebih berhati-hati melalui perintah kuarantin wajib di pusat kuarantin dan hospital sekiranya pesakit positif Covid-19.

“Memang jangka masa yang ditetapkan adalah 14 hari. Kita perlu lakukan ujian dan sekiranya ada yang didapati positif, kita akan kenal pasti kekal di hospital.

“Ini sesuatu yang berbeza dengan negara lain seperti United Kingdom dan Itali yang mana pesakit dengan simptom-simptom ringan dinasihatkan tinggal di rumah,” katanya pada sidang akhbar hariannya di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, kes-kes positif dipastikan menjalani kuarantin di hospital bertujuan supaya pesakit boleh dipantau mereka secara lebih teliti.

“Itu mungkin salah satu sebab kenapa pemantauan dan rawatan yang kita laksanakan memberikan hasil yang lebih baik,” katanya.

Mengulas mengenai jangkitan daripada kluster individu dalam siasatan (PUI) Bali di Kuantan, beliau memaklumkan jangkitan kepada kakitangan kesihatan berlaku selepas kontak rapat pesakit iaitu abangnya hanya didiagnos sebagai demam denggi sebelum disahkan positif Covid-19.

Dalam pada itu beliau berkata, KKM kini dalam usaha memantau secara teliti semua kluster dengan harapan dapat mengelak jangkitan secepat mungkin.

Katanya, jumlah kes di Kluang, Johor mencatatkan pertambahan sembilan kes baharu menjadikan jumlah 210 kes dan enam kes baharu di Hulu Langat.

Tambahnya, tiada pertambahan di Menara Plaza City One dengan 39 kes, juga di Malayan Mansion, empat kes dan di Selangor Mansion
kekal 83 kes.

“Kluster majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi juga tiada pertambahan kes, kluster persidangan gereja di Sarawak tiada pertambahan dan kluster Rembau juga tiada pertambahan kes.

“Kluster madrasah di Jerentut ada pertambahan dua kes, kluster madrasah di Sungai Lui dan Jasin tiada pertambahan.

“Bagi kluster PUI Bali di Kuantan ada empat kes manakala kluster flat Kampung Baru ada empat kes. Kluster Sendayan juga tiada pertambahan tapi melibatkan 40 orang positif dengan satu kematian.

Bagi kes kluster kumpulan perhimpunan Seri Petaling katanya, sebanyak 24, 805 sampel telah dilakukan dengan 1,924 kes positif. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here