KWSP lancar e-CAP untuk bantu PKS yang terjejas akibat Covid-19

0
171

Oleh SITI AZIELAH WAHI

KUALA LUMPUR- Sebagai sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik global Covid-19, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP).

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata e-CAP memberi fleksibiliti kepada PKS yang layak, memilih untuk membuat permohonan penangguhan dan penstrukturan semula caruman majikan bagi bulan caruman April, Mei dan atau Jun 2020.

Tunku Alizakri berkata bayaran untuk caruman tertangguh bagi bulan yang dipilih boleh dijelaskan dalam tempoh maksimum tiga bulan.

“Bagi majikan yang memilih untuk menangguhkan caruman April, pembayaran yang disusun semula itu akan bermula dari Julai 2020, berakhir pada September 2020.

Bagi mereka yang membuat permohonan untuk bulan Mei, pembayaran yang disusun semula untuk bulan itu akan bermula dari bulan Ogos hingga Oktober 2020, sementara bagi mereka yang memohon bulan untuk Jun, pembayaran mereka yang disusun semula itu akan bermula dari September 2020 hingga November 2020, “katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, permohonan e-CAP boleh dilakukan menerusi i-Akaun (Majikan) mulai hari ini.

Tunku Alizakri berkata PKS adalah asas ekonomi Malaysia, menyumbang sekitar RM522 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan jumlah pekerjaan terbesar untuk pasaran buruh domestik.

“Malaysia tidak mahu PKS runtuh, kerana ia akan membawa kesan; daripada syarikat besar yang akan menghadapi gangguan rantaian bekalan yang teruk, kepada individu yang pekerjaannya akan terjejas,” katanya.

Sementara itu bagi melayakkan majikan menerima e-CAP, majikan PKS mesti mempunyai 200 pekerja dan ke bawah, dan memastikan bahawa semua pembayaran caruman bulanan (bahagian pekerja dan majikan) hingga Februari 2020 telah dibayar.

” Majikan juga harus memastikan bahawa bahagian pembayaran pekerja untuk bulan caruman yang dipohon (April, Mei atau Jun) telah dibayar, katanya.

Selain itu bagi majikan yang memilih untuk memohon e-CAP juga diingatkan bahawa dividen pembayaran lewat akan tetap dikenakan, bagaimanapun KWSP akan mempertimbangkan untuk memberi pengecualian atau pengurangan caj pembayaran lewat mengikut kes-kes secara berasingan, – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here