Larangan operasi bazar Ramadan dimuktamad

0
89

CYBERJAYA – Kerajaan memutuskan larangan operasi sebarang bentuk bazar Ramadan termasuk secara pandu lalu serta tempah dan ambil dilaksanakan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya sudah meneliti dan mendengar pandangan Kementerian Wilayah melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai cadangan untuk melaksanakan bazar Ramadan dengan cara itu.

“Mesyuarat hari ini memutuskan sebarang bentuk perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan termasuk dalam bentuk pandu lalu serta tempah dan ambil (pack and pick) tidak dibenarkan.

“Jadi tidak ada isu lagi berkenaan pasar ramadan atau e-iftar, walaupun ia tidak dibuka seperti biasa (kaedah lain), tetap tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan pelaksanaan PKP hari ini.

Sehubungan itu katanya, orang ramai diminta memberi kerjasama kepada pihak Polis Diraja Malaysia dalam membantu mengurangkan penularan wabak dan memutuskan rantaian Covid-19.

Diminta mengulas dakwaan pengabaian amalan penjarakan sosial di kemudahan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT), Ismail Sabri berkata, pihaknya akan berbincang dengan polis mengenai perkara itu.

“Saya akan berbincang dengan PDRM supaya kita boleh menempatkan mereka atau agensi-agensi lain untuk mengawal keadaan di LRT dan MRT,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here