Lebih 40,000 tandatangan petisyen desak kerajaan tukar IC baharu dalam tempoh sehari

0
655
Petisyen ini telah berjaya mengumpul lebih 40,000 tandatangan dalam tempoh sehari

CYBERJAYA – Hanya dalam tempoh 24 jam, Pertubuhan Pembela-pembela Islam (Pembela) berjaya mengumpul sebanyak 40,000 tandatangan petisyen untuk mendesak kerajaan menukar kad pengenalan (IC) baharu.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya berkata, langkah mendesak itu dibuat bagi membanteras sindiket kad pengenalan palsu.

“Alhamdulillah, dalam masa sehari sahaja kita berjaya kumpulkan lebih 40,000 tandatangan petisyen desak tukar kad pengenalan baharu bagi membanteras sindiket kad pengenalan palsu.

“Teruskan mendesak. Sebarkan petisyen ini untuk bina kesedaran akan ancaman sindiket kad pengenalan palsu yang menjadi barah kepada kedaulatan negara,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

AMINUDDIN YAHAYA

Semalam Pembela melancarkan petisyen Rakyat Desak Tukar IC Baharu, Banteras Sindiket IC Palsu berikutan timbul kebimbangan lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara serta dakwaan kehilangan lebih 100,000 pelancong China dan India dalam negara.

Sementara itu, dalam status berlainan, Aminuddin hairan bagaimana terdapat ramai warga China yang terlibat dalam sindiket jenayah.

Beliau berkata, terbaharu semalam polis berjaya menumpaskan sebuah sindiket perjudian bersama 44 warga China.

“Ini bukanlah pertama kali kita mendengar berita mengenai sindiket-sindiket kegiatan haram yang melibatkan warga China atau warga-warga asing yang lain.

“Malah, berita sebegini sudah terlalu kerap kita dengari seolah-olah sindiket-sindiket sebegini adalah terlalu banyak atau terlalu kuat yang membuktikan sindiket yang melibatkan warga asing ini tidak berjaya dilumpuhkan atau dilemahkan pun.

“Maka timbul beberapa persoalan di sini, apakah pergerakan mereka ini dipayungi oleh pihak tertentu kerana kita lihat pergerakan mereka sangat teratur, mempunyai kelengkapan yang canggih, aset-aset yang mewah dan pekerja-pekerja yang ramai,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut membangkitkan kebimbangan orang ramai sama ada kegiatan haram itu mempunyai
kaitan dengan 100,000 pelancong China dan India yang tiada rekod perjalanan keluar dari negara.

“Jika benar perkara ini, berapa ramaikah dari jumlah ini yang sudah dikenalpasti dan berapa ramaikah yang terlibat dengan kegiatan-kegiatan haram di Malaysia?

“Kita menuntut agar pihak berwajib memberikan laporan terkini mengenai perkara tersebut,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here