Lelaki pakai baju kelawar kreatif, elak bosan: PM

0
279

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

PUTRAJAYA –Perutusan Khas Pakej Prihatin PKS (Tambahan) yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen hari ini sudah pasti mencuit hati buat rakyat Malaysia apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan seorang suami memakai baju kelawar isteri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukanlah kejadian pelik.

Beliau turut berkongsi pendapat bahawa hasil pemerhatiannya di media sosial mendapati terdapat warga maya mengayuh basikal dalam rumah selain mengubah ucapannya menjadi lagu.

Menurutnya, ia adalah sebahagian daripada kreativiti rakyat untuk menghilangkan rasa bosan duduk di rumah.

“Saya tahu setelah tiga minggu saudara-saudari berkurung di rumah, mungkin ada di kalangan saudara-saudari yang berasa agak terbeban dengan dugaan dan ujian Tuhan ini.

“Selama tiga minggu ini, kita terhalang daripada melakukan perkara-perkara yang biasa kita buat. Kita tinggalkan hobi kita, kita tinggalkan pekerjaan kita, kita rindu kepada kawan-kawan dan keluarga yang berjauhan.

“Pendek kata, kehidupan kita amat berbeza, dan kadang-kadang berasa sedikit terbeban,” katanya.

Muhyiddin menambah, apa yang penting, masyarakat mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi dugaan dan ujian.

Beliau yakin Tuhan tidak menguji atau membebani hambanya dengan sesuatu yang tidak boleh kita tanggung.

“Saya yakin dugaan yang dibawa oleh wabak Covid-19 ini bukanlah sesuatu yang tidak dapat tanggung oleh kita semua. Teruslah cekal, kuat dan bersemangat. Yakinlah, kita akan dapat atasi dugaan ini bersama-sama.

“Akhir sekali, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas di barisan hadapan yang terus menjalankan amanah dengan penuh dedikasi.

“Terima kasih semua doktor, jururawat, anggota polis, anggota tentera, imigresen, Rela, bomba, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua yang terlibat di barisan hadapan.

“Terima kasih juga kepada anda sekalian yang sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Teruslah sabar, tenang dan istiqamah. Insya-Allah, kita akan bangkit semula,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here