LKIM perkenal jualan ikan terus ke pintu

0
188
Bekalan ikan negara ketika ini dilaporkan masih berada dalam keadaan terkawal. – Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan memperkenalkan jualan ikan secara terus ke rumah dengan pembayaran semasa serahan (COD) di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan ikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah LKIM, Raja Khalid Raja Ariffin dalam satu kenyataan hari ini berkata inisiatif jualan ikan secara tunai itu digerakkan dengan hasil kerjasama melibatkan 44 buah persatuan nelayan seluruh negara di bawah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat).

Beliau berkata, orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan ikan itu secara dalam talian di www.nekmatbiz.com.my.

“Inisiatif memasarkan ikan secara terus kepada pengguna diharap dapat membendung kesesakan di pasar dan penyularan wabak Covid-19.

“Saya menyeru orang ramai jangan membeli ikan secara panik kerana bekalan ikan masih mencukupi dan para pengguna harus mempratikkan jarak sosial dan menjaga kebersihan diri sewaktu berkunjung ke Pasar Nelayan mahupun Pasar Segar Terkawal (PST),” katanya.

Sementara itu, Raja Khalid berkata, bekalan ikan masih mencukupi sepanjang PKP dengan stok dalam pasaran kini sebanyak 185,000 tan metrik berbanding keperluan semasa 155,000 tan metrik sebulan.

Beliau berkata, LKIM juga akan memulakan inisiatif baharu dalam memasarkan jualan ikan dalam talian iaitu melalui aplikasi Shopee dan selepas ini pengguna boleh membeli ikan atau hasil laut melalui Shopee tanpa perlu ke pasar.

Sepanjang PKP juga, 64 buah pasar nelayan LKIM di seluruh Malaysia masih beroperasi seperti biasa dengan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

“Semua pasar nelayan ini beroperasi dari pagi sehingga tengah hari dengan kawalan keselamatan oleh penguatkuasa LKIM selain dibantu oleh pihak Rela, polis dan tentera,” tambahnya.

Raja Khalid berkata, sepanjang PKP dilaksana, pasar nelayan telah mencatatkan jumlah pengunjung seramai 62,887 orang dengan hasil jualan RM2.55 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here