Majikan boleh kena tindakan panggil pekerja pulang dari kampung

0
341

CYBERJAYA- Kerajaan akan bertindak tegas terhadap mana-mana majikan yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan meminta pekerja mereka pulang dari kampung.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak majikan tidak boleh memaksa mana-mana pekerjanya untuk pulang kerana ia telah melanggar arahan kerajaan untuk tidak bergerak antara negeri ke negeri lain.

“Jika majikan itu paksa pekerja pulang, ini bermakna majikan ini melanggar PKP kerana dia yang paksa walaupun tahu perjalanan merentasi sempadan negeri tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai PKP hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah pihak majikan boleh memanggil pulang pekerja yang berada di kampung untuk bekerja seperti biasa.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia untuk mengambil tindakan terhadap majikan berkenaan.

Dalam pada itu, ditanya mengenai nasib rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, katanya, pekerja dari Singapura masih kekal bekerja seperti biasa kerana terdapat beberapa kilang yang membekalkan barangan keperluan harian masih belum ditutup.

“Seperti kita bersetuju bersama, tempat tinggal mereka masih diberikan majikan dan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau kerajaan Singapura.

“Selagi kilang-kilang tidak ditutup tiada kumpulan besar yang akan balik secara serentak, sehari yang pulang lebih kurang 200 orang dan setakat ini semua yang pulang dikuarantin secara wajib di Johor Bahru,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here