‘Malam ini boleh pulang’

0
80

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Seramai 1,128 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) akan mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu sebanjak 863 pelajar akan dihantar pulang dari zon tengah ke zon utara.

“Apabila sampai ke zon utara, bas yang sama akan membawa pulang pelajar-pelajar dari zon utara ke zon tengah iaitu melibatkan seramai 265 pelajar.

“Proses penghantaran pulang melibatkan sembilan universiti dan 49 bas ke 17 destinasi.

“Bas- bas akan disanitasi tiga jam sebelum bertolak ke destinasi. Bagasi-bagasi yang dibawa pelajar juga akan disanitasi,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Jelasnya, setiba pelajar di ‘drop-off point’, hanya seorang ahli keluarga yang mempunyai kenderaan dibenarkan mengambil pelajar tersebut.

“Bas dijangka sampai ke destinasi ‘drop-off point’ sekitar pukul 9 pagi.

“Bagi mereka yang tiada kenderaan, pihak barisan hadapan akan menghantar pelajar ke rumah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan penghantaran pulang pelajar ke Sarawak dan Sabah akan bermula 1 Mei ini.

“Bagi pelajar yang berada di Terengganu dan Kelantan akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

“Bagi pelajar yang berada di zon tengah termasuk Pahang akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA.

“Bagi zon utara, mereka akan diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan di zon selatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Mereka akan diterbangkan ke lapangan terbang yang terdekat dengan kampung halaman mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here