Malaysia belum menang lawan Covid-19

0
187

Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat di seluruh negara perlu terus berjihad dan beristiqamah dalam memerangi wabak Covid-19 sehingga keadaan kembali pulih.

Perdana Menteri berkata, setakat ini, Malaysia masih belum menang dalam perang menentang Covid-19 namun, yakin kemenangan itu dapat diperoleh nanti.

“Kita masih belum menang dalam perang menentang Covid-19 tetapi saya yakin insya-Allah kita akan menang.

“Yang penting ialah jihad dan istiqamah. Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, tingkatkan jihad kita memerangi Covid-19. Teruslah istiqamah dengan usaha kita,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut meminta semua pihak supaya memanjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya negara berjaya melawan wabak penyakit itu.

“Apa yang penting, kita lalui jihad ini bersama-sama. Seperti bulan Ramadan, di akhirnya adalah kemenangan buat kita semua dalam melawan hawa nafsu.

“Kita berdoa ke hadrat Allah, mudah-mudahan di akhir jihad kita melawan Covid-19, kita juga akan diberikan kemenangan, kesihatan dan keselamatan daripada wabak penyakit ini.

“Mudah-mudahan bulan Ramadan yang mulia ini akan membawa rahmat kepada kita semua. Banyakkan berdoa kepada Allah, mohon pertolongan daripada-Nya, insya-Allah kita semua akan dilindungi daripada sebarang musibah,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri juga mendoakan semua petugas barisan hadapan terus tabah menjalankan tugas memerangi Covid-19 sepanjang bulan Ramadan.

“Kepada barisan hadapan yang akan berpuasa dalam keadaan menjalankan tugas, saya harap anda terus tabah. Insya-Allah, pengorbanan anda semua akan diberikan ganjaran oleh Allah.

“Saya dan seisi keluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan al-Karim kepada semua umat Islam di negara ini dan di mana jua anda berada,” ujarnya-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here