Malaysia terlibat kaji selidik solidariti WHO rawat Covid-19

0
185

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Malaysia akan memulakan satu kaji selidik solidariti yang dilancarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam usaha antarabangsa menguji beberapa ubat berpotensi bagi merawat Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyegerakan proses pelaksanaannya yang bermula tidak lama lagi dan memberi jaminan ia akan mematuhi semua piawaian keselamatan ditetapkan Bahagaian Regulatori Negara (NPRA).

“Kaji selidik diselaraskan WHO di seluruh dunia ini adalah satu usaha julung kali dilakukan bagi mengumpul data yang boleh dipercayai dan membandingkan keselamatan serta keberkesanan empat protokol rawatan menggunakan kombinasi remdesivir, lopinavir / ritonavir, interferon beta, chloroquine dan hydroxychloroquine,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, penyelidikan ini akan diketuai Pakar Perunding Penyakit Berjangkit di Hospital Pulau Pinang, Dr. Chow Ting Soo dengan pasukan 16 pakar perubatan dan ahli farmasi sebagai penyelidik bersama di hospital masing-masing.

“Sembilan hospital akan terlibat iaitu Hospital Tuanku Fauziah, Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

“Selain itu Hospital Melaka, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Hospital Umum Sarawak dan Hospital Queen Elizabeth juga turut tersenarai menyertai kaji selidik berkenaan,”katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here