Malaysia tidak puas hati SOP ditetapkan Singapura

0
98
SOP tidak tegas ditetapkan Singapuran menyebabkan ada rakyat Malaysia tidak menjalani ujian swap Covid-19 sebelum pulang ke Malaysia

CYBERJAYA – Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dinasihatkan kekal di negara tersebut berbanding mengambil keputusan untuk pulang secara beramai-ramai ke tanah air.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pihaknya telah mendapat jaminan daripada Singapura supaya mereka disediakan tempat tinggal sepanjang tempoh perintah pergerakan terhad dikuatkuasakan di negara itu.

“Kalau boleh baik kekal di Singapura kerana jaminan menteri kanan mereka sebelum ini yang akan membenarkan mereka bekerja dan perjanjian awal untuk menanggung makan dan minum serta tempat tinggal,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai rakyat Malaysia yang tetap pulang meskipun perbincangan antara kedua-dua negara belum berlangsung, katanya, kerajaan masih belum berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dibuat negara itu dan akan berbincang lebih lanjut.

“Saya sudah berbincang dengan menteri kanan Singapura, sebenarnya ada sedikit perbezaan SOP. Bagi Singapura mereka kata ikut SOP Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mana mereka tidak bergejala tidak perlu buat ujian ‘swap’ sedangkan kita mewajibkannya pada semua.

“Mereka yang telah pulang sudah diberikan surat pelepasan bebas daripada Covid-19 kerana mengikut SOP dengan membuat saringan biasa dan dikuarantin di rumah.

“Kita masih tidak berpuas hati dan sedang berbincang dengan Singapura supaya rakyat kita dibenar tinggal di Singapura dan ditanggung tempat tinggal termasuk elaun makan dan minum,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, beliau juga akan meminta Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Luar menghubungi kementerian sama di Singapura untuk mendapatkan angka tepat rakyat Malaysai yang bakal pulang.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya mahu urusan kepulangan mereka dibuat secara sistematik dan tidak bersesak-sesak dalam satu masa.

Mengulas mengenai dakwaan terdapat rakyat Malaysia yang terpaksa tinggal bersesak-sesak di sebuah pusat kuarantin di Johor, katanya, isu tersebut telah diselesaikan.

“Mereka yang terbabit sudah dipindahkan termasuk yang baru tiba di Johor. Perkara ini berlaku kerana terlalu ramai yang balik dari Singapura dan kita tidak dapat rancang seperti yang dirancang terhadap rakyat Malaysia yang pulang menaiki pesawat dari negara lain.

“Yang balik ke Malaysia pada 2 April lalu pada awalnya kita transitkan terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke hotel,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, setakat ini Johor mempunyai 14 hotel yang dijadikan pusat kuarantin dan pusat kuarantin terbabit ditentukan sendiri oleh kerajaan negeri.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here