Manfaat yang diterima oleh Madam Lee boleh bantu rancakkan perniagaan selepas PKP

0
116

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman peruntukan tambahan bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) sekali lagi memberikan contoh mudah bagi membantu pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memahami inisiatif diumumkan.

“Contoh pertama ialah Lee Beauty Saloon, iaitu sebuah PKS mikro yang terlibat dalam sektor perniagaan dandanan rambut.

“Saloon ini mempunyai dua orang pekerja tempatan yang semuanya bergaji kurang RM4,000. Pemilik saloon ini, madam Lee ingin merancakkan semula perniagaannya selepas tamat tempoh PKP.

“Dengan pelaksanaan semua bantuan yang telah diumumkan kerajaan, madam Lee boleh mendapat manfaat subsidi upah tiga bulan berjumlah RM7,200 dan geran mikro sebanyak RM3,000. Keseluruhan manfaat yang diterima oleh madam Lee ialah sebanyak RM10,200,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau turut memberikan contoh kedua iaitu Restoran Mi Kolok Haji Salleh di Kuching, Sarawak yang mempunyai lima pekerja tempatan bergaji RM4,000 ke bawah dan dua pekerja asing.

“Untuk menampung keperluan aliran tunai dalam tempoh PKP, pemilik restoran ini boleh mendapatkan pinjaman kredit mikro Bank Simpanan Nasional sebanyak RM50,000 dan subsidi upah untuk lima orang pekerja berjumlah RM18,000.

“Di samping itu, pemilik restoran ini juga boleh menikmati penjimatan daripada pengecualian sumbangan KWSP dan HRDF sebanyak RM8,400, tangguhan cukai berjumlah RM5,200, diskaun levi pekerja asing sebanyak RM2,300 dan diskaun bil elektrik sebanyak RM300.

“Keseluruhan manfaat yang boleh diterima, tidak termasuk pinjaman kredit mikro, ialah sebanyak RM34,200 untuk tempoh tiga bulan,” katanya.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here