Mangsa dera boleh WhatsApp terus polis guna nombor khas

0
228

CYBERJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mewujudkan satu talian khas bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak mendapatkan bantuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, talian itu diwujudkan berikutan pihaknya menerima banyak aduan berhubung masalah rumah tangga dan kebimbangan sekiranya berlaku kes penderaan sepanjang tempoh tersebut.

“Bagi yang memerlukan bantuan mereka boleh menghubungi Talian Kasih 1599 ataupun WhatsApp ke 019-2615999.

“Ia ada link dengan PDRM dan pihak polis akan mengambil tindakan segera berdasarkan aduan. Rakyat kita boleh buat aduan secara atas talian, WhatsApp dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri mengenai PKP hari ini.

Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan bahawa menurut bahagian Komunikasi Korporat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, panggilan ke Talian Kasih bertambah sebanyak 57 peratus sejak PKP.

Bagaimanapun, panggilan serta mesej WhatsApp ke talian bantuan Pertubuhan Pertolongan Wanita atau Womens Aid Organization (WAO) berkurang kepada 73 panggilan dalam seminggu sepanjang PKP.

Sebelum PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, WAO menerima purata 77.5 panggilan dan mesej menerusi WhatsApp dalam seminggu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, sehingga hari ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyerahkan sebanyak 225,871 bantuan Bakul Makanan.

Beliau berkata, bantuan tersebut dijangka dapat memanfaatkan sebanyak satu juta rakyat.

“Bakul bantuan ini diberikan kepada mereka yang layak, proses edaran masih diteruskan. Kalau belum diterima mereka akan terima nanti sebab proses ini masih berterusan,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai dakwaan penduduk Sungai Lui mengenai agihan makanan yang tidak sistematik, katanya, sehingga semalam sebanyak 1,000 Bakul Makanan telah dihantar kepada 750 keluarga.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here