Maritim Kelantan perketat kawalan di sempadan Thailand

0
263

TUMPAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kelantan mewujud dan menggerakkan operasi Pangkalan Hadapan Maritim (FOB) di Taman Galeri Tengku Anis di sini bagi memantau pergerakan bot yang melalui kawasan persempadanan negara.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kapten Maritim Muhammad Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pemantauan berterusan dilakukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sungai Tumpat yang digunakan bersama oleh komuniti maritim Malaysia dan Thailand.

“Usaha ini diperlukan untuk menangani sebarang potensi kemasukan kes import daripada negara jiran sekaligus memantau jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan rokok dan sebagainya.

“FOB ini dikawal urus oleh 10 pegawai dan anggota yang lengkap bersenjata dengan pemantauan 24 jam secara berterusan.

“APMM juga bertanggungjawab memastikan kepatuhan komuniti nelaya di perairan negara. Setakat ini kepatuhan mereka memuaskan dan faham kepada arahan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 9 April lalu, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,
Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som mangarahkan semua aset agensi itu meningkatkan kawalan selaras dengan arahan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin yang mahu pengawalan persempadanan negara diperketatkan.

Sementara itu Muhammad Nur Syam berkata, seramai empat anggota lengkap bersenjata ditempatkan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali secara rutin untuk memastikan keselamatan nelayan di laut.

Katanya, secara purata FOB di Tumpat merekodkan 30 hingga 40 pergerakan keluar masuk setiap hari oleh bot-bot nelayan tempatan kecuali pada hari tertentu ianya mencatat sehingga lebih 80 pergerakan.

Selain itu katanya, kerajaan Thailand dilihat telah menempatkan kapal Tentera Laut Diraja Thailand di persempadanan perairan yang sudah pasti dapat memastikan sebarang kemasukan warga asing dan jenayah rentas sempadan diatasi.

”Selain memantau sempadan, kita juga mengedar barangan keperluan asasi kepada komuniti nelayan. Sumbangan yang kita terima daripada NGO dan tabung yang kita kumpul bagi tujuan kebajikan ini diharapkan sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya lagi. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here