Masak Apa Tak Jadi Hari Ni cuit hati Perdana Menteri

0
216
Kumpulan Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni yang menjadi fenomena sejak PKP fasa ketiga dikuatkuasakan

CYBERJAYA – Fenomena yang dicetuskan oleh sebuah kumpulan dalam Facebook yang dikenali sebagai Masak Apa Tak Jadi Hari Ni turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena perutusan khas beliau hari ini.

Perdana Menteri berkata, meskipun bulan Ramadan kali ini berbeza berbanding sebelumnya, umat Islam perlu melihatnya dari sudut positif.

“Tak mengapa Ramadan kali ini kita tak pergi ke bazar Ramadan, tak makan nasi beriyani, murtabak atau juadah kuih-muih yang kita suka yang penting kita selamat daripada wabak Covid-19.

“Kita lihat secara positif. Mungkin inilah peluang yang Allah berikan kepada kita untuk mengamalkan sebenar-benar ibadah puasa. Kita berbuka puasa dan bersahur sekadarnya. Makan masakan isteri kita dan tidak membazir. Kalau masakan tak jadi pun tak apa. Boleh ‘post’ dalam kumpulan Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, hikmah tidak dapat dapat mendirikan solat terawih secara berjemaah di masjid juga perlu dilihat sebagai peluang diberikan Allah untuk semua mendirikan solat berjemaah bersama keluarga di rumah.

“Mungkin ini peluang yang Allah berikan kepada kita untuk berjemaah bersama keluarga di rumah. Jika tidak sekarang, bila lagi.

“Kita jadi imam, anak dan isteri jadi makmum. Insya-Allah, ganjaran pahala dan barakah yang kita terima tidak kurang besarnya,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here