
Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menyifatkan inovasi terowong sanitasi merupakan kaedah nyah kuman terbaik namun perlu mengemukakan bukti dan fakta.
Ketua Pengarahnya, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kaedah inovasi itu perlu mengikut beberapa prosedur terutama berdasarkan fakta.
Menurutnya, seperti di KKM pihaknya berdasarkan pada fakta bermaksud memerlukan proses penyelidikan, bukti dan fakta.
“Kita cadangkan bila kita menyediakan perkhidmatan mungkin kita perlu lihat ada kaedah penyelidikan, terdapat data untuk ditunjukkan sama ada ia efektif atau tidak.
“Ini termasuklah apakah bahan ‘chemical’ yang digunakan dan sebagainya,” katanya.
Beliau turut mengakui kaedah itu merupakan proses inovasi nyah kuman yang baik namun memerlukan penyelidikan bersama.
Sebelum ini terdapat usaha pelbagai pihak menyediakan perkhidmatan nyah kuman yang membantu mencegah penularan Covid-19.