Masih ramai tidak patuh PKP

0
128
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Kadar pematuhan rakyat Malaysia kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meningkat kepada 97 peratus semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan pihaknya masih belum berpuas hati dengan statistik itu kerana masih ada tiga peratus rakyat Malaysia ingkar pada PKP yang bertujuan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Katanya, jumlah tangkapan harian individu ingkar PKP juga menyaksikan penurunan apabila seramai 300 individu ditahan semalam, berbanding 454 tangkapan pada hari sebelumnya.

“Berbanding kelmarin, kadar tangkapan menurun 34 peratus, namun kita masih mengkaji dan meneliti trend ini sebab dua hari lalu, mulanya menurun kemudian meningkat kembali.

“Peningkatan sebelum ini kita harap bersifat sementara kerana ramai yang keluar untuk ke Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk keluarkan wang bantuan daripada kerajaan. Kita harap ia akan terus menurun,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memaklumkan daripada 300 individu yang ditahan semalam, seramai 252 individu direman manakala 48 individu lagi dibebaskan dengan jaminan.

Katanya, seramai 518 individu dituduh di mahkamah semalam, dengan jumlah tangkapan keseluruhan individu yang ingkar PKP dari 18 Mac hingga semalam adalah 7,205 orang.

Menurutnya, berhubung kompaun RM1,000 yang mula dilaksanakan polis semalam, sebanyak 95 notis kompaun itu diserahkan kepada individu yang didapati ingkar arahan PKP dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah jika gagal membayarnya dalam tempoh dua minggu.

“Mereka yang ingkar PKP akan dibawa ke balai polis sebelum diberikan kompaun dan bayaran perlu diselesaikan di Pejabat Kesihatan Daerah atau balai polis berhampiran dalam tempoh dua minggu selepas tarikh ia dikeluarkan,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here