Mayat pesakit Covid-19 di Ecuador dibiarkan di tepi jalan

0
460
Mayat pesakit Covid-19 terpaksa dibiarkan di tepi jalan sementara menunggu pihak berkenaan menguruskannya

GUAYAQUIL – Krisis kesihatan di Ecuador akibat penularan jangkitan Covid-19 menjadi semakin parah apabila banyak kes kematian akibat wabak tersebut gagal diuruskan dengan sempurna sehingga ada mayat dibiarkan di tepi jalan.

Memetik laporan CNN, di sebuah bandar di selatan negara di benua Amerika Selatan itu yang dikenali sebagai Guayaquil, bau mayat yang tidak diuruskan selama berhari-hari telah mengganggu kehidupan seharian penduduk sekitar.

Lebih memburukkan keadaan apabila hospital yang terdapat di kawasan tersebut tidak mampu menampung jumlah pesakit Covid-19 yang ramai.

Malah, rumah mayat yang ada juga sudah tidak mampu lagi memuatkan jumlah mayat yang terlalu banyak setiap hari.

Seorang wanita menunjukkan mayat pesakit Covid-19 yang masih belum diuruskan

Sehingga semalam, jumlah rasmi jangkitan positif Covid-19 yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Kecemasan dan Risiko Ecuador ialah sebanyak 3,368 kes manakala kes kematian pula mencecah 145 kes.

Namun begitu, angka tersebut dipertikaikan banyak pihak kerana banyak lagi pesakit yang meninggal dunia akibat wabak tersebut tidak menerima rawatan di hospital berdekatan berikutan jumlah pesakit yang sangat ramai

Sementara itu, Presiden Ecuador, Lenin Moreno menjangkakan angka kematian di wilayah Guayaquil sahaja bakal mencecah 3,500 korban dalam beberapa bulan lagi.

Negara tersebut sebelum ini telah melaksanakan perintah berkurung sejak 17 Mac lalu berikutan penularan wabak tersebut.

Sehingga kini Ecuador mencatatkan angka kematian kedua paling tinggi di Amerika Selatan selepas Brazil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here