Setiap tahun isu pembaziran makan sering dijadikan isu terutama sepanjang bulan Ramadan.
TAHUN ini umat Islam menyambut bulan Ramadan dalam suasana baharu.
Maknanya tiada lagi tajaan berbuka puasa di restoran-restoran hotel mewah, bazar Ramadan yang dipenuhi pelbagai jenis makanan serta majlis berbuka puasa oleh agensi kerajaan mahupn syarikat korporat.
Penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk negara ini mengajar umat manusia mengubah kehidupan yang rutin kepada sesuatu norma baharu.
Ia seolah-olah membentuk semula gaya hidup baharu masyarakat dunia dalam menjalani kehidupan yang lebih baik dan teratur.
Bagi umat Islam pula, kedatangan bulan Ramadan ini mengajar erti kesederhanaan sebenar. Tiada lagi pelbagai jenis makanan dan minuman terhidang di meja.
Tiada lagi pembaziran makanan yang sering menjadi isu oleh media massa pada saban tahun setiap kali kedatangan bulan Ramadan.
Jika tahun-tahun sebelum ini umat Islam diseru mengamalkan kesederhanaan terutama waktu berbuka puasa, tahun ini ia mampu direalisasikannya.
Kaum-kaum ibu sibuk memasak didapur memasak sendiri makanan untuk hidangan ahli keluarga. Bagi yang bujang pula mungkin inilah masanya memasak sendiri walaupun selama ini membeli di bazar Ramadan.
Air tangan seorang isteri dan ibu kepada suami serta anak-anak amat bermakna. Lebih bermakna apabila anak-anak juga turut sama membantu ibu memasak di dapur. Inilah masanya anak-anak mengenali apa itu kuali, senduk, gula, garam, ikan, daging dan lain-lain.
Namun satu norma baharu yang boleh dilihat apabila peniaga bazar Ramadan mencuba berniaga dalam talian atau online.
Dalam laman sosial Facebook pelbagai kumpulan wujud mengikut kawasan masing-masing dibina menghimpunkan peniaga menjual makanan kepada pelanggan maya. Malah kumpulan aplikasi WhatsApp juga turut meriah dengan pelbagai menu yang dijual.
Walaupun nampak sukar tetapi lama kelamaan perniagaan ini mampu membuka era baharu ekonomi dalam memperluaskan sistem e-dagang.
Mana tahu suatu hari nanti kedatangan bulan Ramadan pada masa akan datang sistem e-dagang akan mengambil tempat perniagaan tradisional dalam membeli makanan kesukaan mereka menerusi laman sosial.
Peniaga zaman sekarang sudah kreatif dalam memastikan produk mereka tidak terhenti.
Walaupun tidak dapat mengaut perolehan berganda namun sudah memadai menjual seikhlas hati makanan mereka kepada pelanggan.
Jika tidak dapat dijual secara fizikal, alternatif menjual secara dalam talian adalah kaedah terbaik dalam memastikan pelanggan mereka tidak lari dan terus membeli sepanjang Ramadan ini. – MT