Memberi noktah kepada norma-norma baharu

0
243
Aspek pematuhan kepada norma-norma yang baharu perlu dipertingkatkan dalam komuniti.

PENURUNAN kes harian dan jumlah kematian akibat Covid-19 yang ketara sejak minggu lalu secara tidak langsung meletakkan semangat dan moral rakyat negara ini dalam keadaan terbaik pada ketika ini.  

Walaupun terpaksa menjalani kehidupan dalam kepungan sosial, bahkan ada yang tersempit dalam serba kekurangan, semangat untuk melihat tanah air ini bebas daripada virus itu ternyata tidak pudar.

Usaha kerajaan dan kepatuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuktikan betapa kita semua ingin kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala. PKP telah pun membuktikan kejayaan. Manakala usaha berterusan yang dilakukan kerajaan melalui saringan dan rawatan juga membuktikan keberkesanannya.

Dalam sidang media Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah semalam, Rabu 29 April, rakyat diberi gambaran akan ‘dibebaskan’ daripada perintah kawalan secara berperingkat-peringkat.

Sektor-sektor perniagaan akan dibuka semula, sekolah dan tadika juga dikatakan akan disambung dalam masa dua hingga empat minggu sahaja lagi bahkan ada diadakan mesyuarat khas untuk membincangkan kebenaran solat berjemaah di masjid. 

Namun sebelum kita pergi lebih ‘longgar dan bebas’, memadaikah pencapaian kita setakat ini dan adakah situasi ini memberi maksud kita menghampiri kejayaan menentang Covid-19 di Malaysia? 

Berita kelonggaran perintah itu sudah tentu khabar gembira yang tidak sepatutnya dihalang, namun pada masa yang sama tetap mencetuskan khuatir terutama pada mereka yang masih ‘kritikal’ dalam mematuhi langkah-langkah pencegahan. 

Persoalannya adalah, adakah kita sudah bersedia untuk bergerak lebih bebas dan bersedia menghadapi kesannya? Apa pun rakyat sentiasa berharap segala keputusan yang dilakukan kerajaan sudah mengambil kira semua aspek dan melalui penilaian risiko yang sepatutnya.

Lapangan persekolahan yang menyaksikan cabaran terbesar amalan penjarakan sosial terlaksana.

Dalam soal ini penulis bukan tidak mahu bersetuju tetapi sedikit sangsi sekiranya kita sudah memenuhi enam daripada kriteria penting yang perlu dicapai sebelum menamatkan PKP seperti diumumkan KKM sebelum ini.

Kita lihat pada kriteria keenam, iaitu keupayaan mengamalkan norma-norma baharu yang pada hakikatnya masih menjadi sesuatu yang ‘abnormal’ dalam segelintir kelompok rakyat negara ini.

Jika dibandingkan dengan pelaksanaan PKP yang bersifat ‘mandatori’, amalan norma-norma baharu seperti penjarakan sosial, menutup hidung dan mulut, sentiasa mencuci tangan dan mengelak keadaan sesak sebenarnya lebih kepada bersifat pilihan.

Tanpa pengawasan yang baik, sudah tentu ramai yang mengabaikannya.

Dan persoalan yang paling kritikal adalah, apa yang mungkin berlaku sekiranya amalan itu gagal dipraktikkan? Adakah kita akan mengulangi semula fasa-fasa PKP yang terdahulu.

Apa pun, yang perlu diingat adalah walaupun kelonggaran telah diberikan, virus pembunuh itu masih ada dalam kalangan kita. Cuma yang tinggal sekarang adalah usaha meminimumkan risiko demi untuk kita bergerak mencari nafkah, meneruskan pendidikan anak-anak dan memastikan sistem kesihatan kita kekal berfungsi. 

Pada pengakhirannya, sama-samalah kita berdoa agar norma baharu yang tidak normal ini dapat dinoktahkan, supaya kita dapat kembali kepada amalan normal yang sebenar. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here