Mentaliti kelas pertama jika mahu bebas Covid-19

0
323
Sumber : Instagram Dr. Say Shazril  

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

MENTALITI kalau dirujuk di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ia membawa maksud keadaan atau kualiti kebolehan akal atau cara berfikir.

Ia juga sinonim dengan minda, pemikiran, cara berfikir, sikap, sifat dan pandangan hidup.

Dalam apa jua situasi, mentaliti merupakan elemen terpenting bagi memastikan sama ada seseorang individu, masyarakat mahupun sesebuah negara memiliki modal insan yang bermutu tinggi.

Apabila modal insan berada di tahap tinggi, maka segala masalah atau rintangan yang berlaku pasti mampu diatasi dengan baik.

Bercakap mengenai situasi negara yang kini dilanda wabak Covid-19 yang memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mentaliti rakyat yang tinggi memainkan peranan yang sangat penting.

Ini bagi memastikan penularan atau rangkaian wabak pendamik ini dapat dihentikan secepat yang mungkin.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu melihat pada graf terkini terdapat tanda-tanda awal Covid-19 boleh dikawal.

Jelasnya, apa yang penting setiap daripada rakyat perlu perketatkan amalan seperti duduk di rumah, basuh tangan dan lakukan penjarakan yang selamat.

Jadi perkara yang paling mencabar adalah memastikan mentaliti rakyat berada di tahap tertinggi.

Apa yang penulis mahu kongsikan di sini, pengalaman sewaktu keluar dari rumah untuk mencari barangan dapur yang hampir kering.

Ya, boleh dikatakan kesedaran orang ramai untuk keluar berseorangan, memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakan sosial berada di tahap yang tinggi.

Boleh dikatakan hampir 100 peratus jugalah yang memiliki kesedaran untuk melindungi diri masing-masing.

Tapi! Apa yang menyakitkan pandangan, penulis boleh melihat sarung tangan di buang merata-rata.

Allahuakbar…memang pentingkan diri sendiri!

Adakah rakyat sedar apabila bahan-bahan ini dibuang secara tidak betul dan merata-rata ia hanya akan membahayakan dan lebih memudahkan kuman-kuman merebak.

Walaupun di media sosial banyak pakar-pakar menjelaskan kepentingan mengendalikan bahan-bahan ini dengan betul selepas ia digunakan, namun masih ada di kalangan rakyat yang pandang remeh!

Berkongsi di Instagram, Dr. Muhammad Shazril Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Dr. Say Shazril menjelaskan sebenarnya penggunaan sarung tangan plastik adalah lebih berbahaya dan tidak efektif untuk mengelak daripada terkena jangkitan Covid-19.

Ini kerana sarung tangan plastik boleh menjadi agen pengangkutan penyebaran virus selain kebarangkalian tidak basuh tangan lebih kerap.

Katanya, tindakan segelintir masyarakat membuang sarung tangan dalam tong sampah biasa memburukkan lagi keadaan kerana ia sepatutnya dibuang dalam tong sampah klinikal.

Menurutnya apatah lagi jika ia dibuang merata-rata, anda yang melakukannya dianggap telah menganiaya pihak-pihak yang mengutip dan menguruskan bahan itu.

Jadi, mentaliti inilah yang kita harus ambil perhatian wahai semua rakyat Malaysia.

Kalau daya pemikiran anda masih dikategori sebagai mentaliti kelas ke tiga, jangan nak kata tanda-tanda awal Covid-19 ini boleh dikawal.

Korang semua tak teringin ke pulang ke kampung sambut puasa dan Aidilfitri bersama ibu dan ayah tersayang?

Oleh itu, penulis menyeru agar kita semua tidak terlalu mementingkan diri sendiri, ‘kita jaga kita’

InsyaAllah, kalau mentaliti rakyat Malaysia berada ditahap sepatutnya, kita akan berjaya mengharungi dugaan ini bersama-sama.

‘Pishang’ lah kalau berhari raya di rumah sendiri tanpa ada kemeriahan bersama keluarga dan sanak saudara tercinta.MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here