Menteri PKP pakai baju batik untuk promosi batik Malaysia

0
1454
Baju batik yang dipakai oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat perhatian warga maya yang melihat penampilan beliau lebih ceria dan bersemangat

CYBERJAYA – Sidang akhbar mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dibuat oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini terus mendapat tumpuan warga maya yang memuji baju bercoak batik yang dipakainya hari ini.

Penampilan kali kedua berturut-turut Ismail Sabri yang lebih dikenali sebagai Menteri PKP oleh warga maya kerana memakai baju batik turut mendapat respon daripada beliau sendiri.

Menerusi satu hantaran dalam laman Facebook miliknya sebentar tadi, Ismail Sabri berkata, selain hari minggu, pakaian itu juga dipakai bagi mempromosikan batik Malaysia.

“Ramai komen tentang baju saya sejak semalam. Sebenarnya semalam dan hari ini hujung minggu. Jadi saya pakai baju batik.

“Apa salahnya saya mempromosikan batik Malaysia, kan,” katanya.

Corak batik berwarna warni yang dipakai Menteri Pertahanan ini mendapat pujian daripada warga maya semalam

Sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, sidang akhbar yang menampilkan Ismail Sabri sebagai jurucakap rasmi kerajaan mengenai PKP sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang ramai.

Selepas setiap hari tampil berpakaian dengan baju kemeja lengan panjang tanpa corak, semalam baju batik yang digayakan oleh Ahli Parlimen Bera itu mendapat reaksi positif daripada warga maya kerana menampilkan corak warna warni dan ceria.

Tinjauan Malakat Tribune dalam laman Facebook beliau mendapati warga maya memuji baju batik yang dipakai beliau hari ini.

Bagi seorang pemilik akaun Facebook bernama Ummu Sarah, pakaian yang dipakai menteri kanan itu sangat cantik.

“Baju Datuk Seri pakai semasa sidang akhbar hari ini cantik sangat. Memang nampak ceria dan menceriakan! Memang sangat sesuai dengan keadaan kita sekarang yang sedang stressed (tertekan). Warna-warna terang lebih menarik daripada asyik warna putih dan warna pudar,” ujarnya.

Nurrin Hidayah pula berkata, baju batik yang dipakai beliau boleh mempromosikan industri batik sambil memerangi Covid-19.

“Sambil memerangi Covid-19, sambil promosi batik. Boleh dijadikan cenderamata untuk tetamu luar,” katanya.

Hantaran dalam laman sosial Menteri Pertahanan itu sehingga artikel ini ditulis telah mendapat lebih 10,000 tanda suka, 1,100 komen dan 185 perkongsian hanya dalam tempoh satu jam.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here