‘Mereka meminjam duit untuk kelangsungan hidup’

0
568

CYBERJAYA – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membendung wabak Covid-19 memberi kesan kepada semua pihak.

Menerusi satu perkongsian dalam Facebook seorang warga maya dikenali sebagai Dang Anum, dia tersentuh hati dengan nasib pekerja tersebut yang majoritinya pekerja asing kerana terpaksa mencatu makanan sepanjang PKP ini.

Mereka hanya mendapat gaji hari tetapi dengan adanya PKP ini semua kerja-kerja pembinaan dihentikan sekali gus turut memberi kesan kepada gaji harian mereka.

Berikut merupakan perkongsian Dang Anum ketika mengunjungi sebuah tapak pembinaan, semalam.  

Assalamualaikum,

Hari ni sistur nak mulakan hantaran dalam Facebook Dang Anum dengan kisah virus Covid-19 dan kemanusiaan.

Umum tahu negara kita sedang ‘diserang’.

Ya, diserang wabak berjangkit yang kita panggil Covid19.

Sistur bukanlah pakar perubatan, jadi bab saintifik semua kita biar pakar yang kupas. Tapi adalah sedikit (bak kata Datuk Rizalman), sistur ada hati peghot.

Hari ini genap 14 hari kita semua berkurung didalam rumah bagi membantu menghentikan penularan wabak virus ini.

Ramai sudah tahu paling terkesan dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini ialah golong B40. Ada juga golongan yang sebelum ini boleh dikategorikan dalam M40 dan T20 namun apabila PKP dikuatkuasakan, mereka jatuh berdebuk malah ada lebih teruk daripada golongan B40.

Mengapa? Bagaimana? Sebab mereka bergantung pada pendapatan yang banyak namun bersifat sementara. Dan mereka juga tidak membuat simpanan untuk diri sendiri.

Oh tidak, Sistur tak bercakap tentang golongan ‘Retis’ yang sedia maklum suun tu, tapi golongan yang dimaksudkan disini ialah pekerja warga asing yang dibayar gaji harian.

Ya benar, jika diikutkan gaji mereka banyak. Boleh mencecah RM80 sehari. Didarabkan dengan 30 hari sebab mereka ni jarang bercuti, pendapatan mereka boleh mencecah RM2,400 tidak termasuk kerja masa tambahan yang boleh cecah sehingga RM3,000 seorang. Banyakkan?

Sistur juga tahu sebaik mendapat gaji, kebanyakkan mereka akan terus menghantar wang pulang ke kampung sehingga mereka hanya ada kurang RM100 untuk diri sendiri.

Dengan kos rawatan perubatan yang tinggi, dicampur pula dengan peniaga yang ‘nakal’ suka menaikkan harga sesuka hati, pemandu Grab dan teksi yang mengenakan tambang berkali ganda, tidak termasuk ditahan ditepi jalan dan kena ‘pau’ lagi.

Mana mungkin mereka mampu mempunyai simpanan tunai yang mencukupi untuk diri sendiri di sini.

Baru-baru ini sistur mendapat ‘pelawaan’ untuk meninjau sendiri keadaan mereka yang tinggal terkurung ibarat terpenjara di rumah kongsi atau asrama mereka.

Ya Allah, sayunya Hati bila mana melihat mereka menyambut kehadiran sistur bersama ‘boss’ mereka dengan penuh senyuman.

Rakan sistur mulakan tugas merayau sekitar kawasan kongsi sementara sistur kekal sebelah ‘boss’ kerana hari itu, dia akan mengagihkan sedikit bantuan kepada pekerja dibawah seliaannya.

Maka beraturlah pekerja-pekerja warga asing ini dengan wajah mereka yang penuh harapan. Ada yang mengeluh sedih, ada yang mengucap tahniah kepada rakan kerana memiliki ‘boss’ yang prihatin kerana daripada ratusan mereka disitu, kurang 100 orang yang menerima bantuan ini.

Nasib baik sistur pakai mask (penutup muka), tak nampaklah mulut sistur sebek tengok keadaan mereka.

Satu persatu nama dipanggil, setiap seorang mendapat bantuan RM70 sahaja. Tidak lebih. Tidak kurang.

Ya puan-tuan dan puan-puan sekalian. RM70!!!! untuk membeli keperluan mereka sepanjang masa tempoh PKP dijalankan.

Ingat, sebelum kami tiba mereka sudah beberapa hari di situ tanpa apa-apa sumber kewangan atau makanan, mereka sudah mula meminjam-minjam untuk kelangsungan hidup. Apabila terima RM70 tadi, sedikit ditolak untuk hutang, bakinya sahaja digunakan untuk baki tempoh PKP dijalankan.

Bayangkan, siapa yang membela nasib mereka?? JKM? Tidak, JKM terlalu sibuk menjaga kebajikan 32 juta rakyat Malaysia. Ya itu keutamaan mereka, tidak salah JKM berbuat demikian.

Kedutaan? Negara mereka sendiri dalam keadaan darurat mana mungkin kedutaan-kedutaan ini ‘turun padang’ dan memantau berjuta warga mereka yang berada dibumi bertuah ini.

Majikan? Mereka sibuk menjaga perniagaan sendiri, tak mungkin mereka hiraukan pekerja yang tak dilihat oleh masyarakat ini. Ahhhh….peduli apa, kalau sakit hantar pulang aja, tak perlu bayar gaji.

Jadi, apa yang sistur nak sampaikan disini ialah, bersyukurlah. Bersyukurlah kita kerana masih ada pihak yang ambil peduli urusan kita, makan minum kita.

Kita masih mampu meluangkan masa dalam laman sosial ini berbahagia, menjadi bawang rangers walaupun ‘terkurung’.

Benarkah kita sudah benar-benar faham erti terkurung? Adakah kita sudah melihat di kiri dan kanan kita dan menghulurkan bantuan?

Walau hanya sebungkus keropok (bukan Super Ring) kita mampu membahagiakan insan lain. Berusahalah kita untuk menjadi lebih baik. Bantulah insan lain dengan sedaya upaya kita.

Hidupkan semula semangat kemanusiaan dalam jiwa kita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here