Misi Zero Hunger ke Kedah, 943 keluarga terima pek bekalan makanan asas

0
214

ALOR SETAR – Selepas Pahang dan Melaka, Misi Zero Hunger Malakat Mall membantu keluarga terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diteruskan di negeri ini dan Perak, semalam dengan mengagihkan sebanyak 943 pek bekalan makanan asas.

Penghantaran bekalan itu dilakukan oleh pasukan sukarelawan Brainy Ranger Emegency Response Team (BERT) melibatkan 21 kenderaan pacuan empat roda diketuai Komander Civil Defence Emegency Response Team (CDERT) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Mohamad Shahrum Osman dan Pengarah Operasi BERT, Mohd. Fuad Rahim.

Konvoi BERT yang bertolak dari Malakat Mall, Cyberjaya pukul 11 pagi tiba di Ibu pejabat APM negeri itu kira-kira pukul 5.30 petang.

Mohamad Shahrum berkata, sebanyak 633 pek bekalan makanan asas ditempatkan di ibu pejabat agensi itu sebelum diagihkan kepada keluarga terjejas di lima daerah di negeri ini.

Tambah beliau, 310 lagi pek bekalan makanan asas itu disumbangkan kepada keluarga terbabit di Ipoh dan Gopeng.

“Saya berterima kasih kepada sukarelawan BERT membawa pek bekalan makanan tersebut yang merupakan jumlah tertinggi sepanjang misi Zero Hunger diadakan.

“Selain itu ucapan terima kasih juga kepada APM, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Rela Kedah yang bekerjasama dalam mengagihkan bekalan itu kepada keluarga terjejas di lima daerah di negeri ini,” katanya selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada wakil APM Kedah di sini.

Mohamad Shahrum juga meminta keluarga terbabit supaya kekal berada di rumah dan tidak perlu bimbang untuk mencari bekalan makanan asas kerana agensi kerajaan terlibat akan menyampaikan kepada mereka.

“Kita sama-sama dapat membantu dalam keadaan mencabar ketika ini. Kita harapkan mereka kekal duduk di rumah dan anggota barisan hadapan akan mengagihkannya kepada keluarga terbabit,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here