Moratorium: Institusi perbankan perlu beri maklumat jelas kepada pelanggan

0
266

CYBERJAYA – Institusi perbankan di negara ini diminta mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan peminjam atau pelanggan diberikan maklumat jelas mengenai proses serta perubahan terhadap syarat perjanjian mereka.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan seperti dipetik portal Sinar Harian berkata, institusi perbankan juga perlu menetapkan cara paling sesuai dan mudah untuk memuktamadkan perjanjian itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut BNM, bermula 1 Mei ini, peminjam yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap menerima notis pemberitahuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel atau surat berdaftar daripada institusi perbankan mereka.

Ia berhubung dengan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyempurnakan proses penangguhan pembayaran pembiayaan mereka di bawah moratorium berkenaan.

“Institusi perbankan juga akan menyediakan bagi setiap peminjam maklumat terperinci mengenai perubahan yang dibuat terhadap setiap perjanjian pinjaman sewa beli atau pembiayaan Islam berkadar tetap mereka.

“Maklumat tersebut mengandungi jadual pembayaran balik semakan dan apa-apa perubahan terhadap jumlah pembayaran yang meliputi jumlah kadar faedah yang terakru sepanjang tempoh moratorium,” kata kenyataan tersebut hari ini.

BNM berkata, peminjam yang tidak berhasrat untuk mengambil moratorium kini boleh memaklumkan kepada institusi perbankan mereka dan meneruskan semula pembayaran berjadual mengikut syarat perjanjian mereka yang sedia ada.

“Dalam hal ini, institusi perbankan akan memberikan masa yang mencukupi kepada peminjam untuk menjelaskan apa-apa bayaran terkumpul atau tertunggak yang sebelum ini ditangguhkan di bawah tempoh moratorium.

“Institusi perbankan tidak akan mengenakan caj bayaran tertunggak atau bayaran lewat ke atas pembayaran tertangguh tersebut sehinggalah masa pembayaran perlu dibuat mengikut jadual pembayaran semakan yang disetujui dengan peminjam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here