MPK terima cecair pembasmi kuman untuk barisan hadapan

0
159

KLANG – Wabak Covid-19 yang merebak berpunca daripada rembesan air liur pembawa virus kepada individu berhampirannya memerlukan kita mengamalkan kebersihan diri sendiri.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dr.Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, selain memakai topeng muka ketika keluar ke tempat awam amalan kebersihan diri sendiri wajar dipertingkatkan.

“Selain selalu membersihkan tangan dan mengawal penjarakan sosial langkah terbaik adalah mengamalkan amalan membasmi kuman.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbang pembasmi kuman (disinfectant) untuk digunakan anggota barisan hadapan dan masyarakat di bawah pentadbiran MPK,” katanya di sini hari ini.

Terdahulu beliau menerima sumbangan 1,000 botol cecair peluntur membasmi kuman daripada NGO 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan) di Dewan Hamzah di sini.

Yang hadir sama ialah Orang Besar Daerah Klang, Datuk Abdul Ghani Pateh Akhir; Penasihat 99 Pertubuhan Kebajikan Insan Selangor (Kesan), Datuk Nor Shabudin Monil dan Pengerusi 99 Kesan, Muhd.Ali Zakariah.

Sementara itu, Nor Shabudin Monil ketika ditemui berkata, pihaknya sentiasa komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan seperti MPK dari semasa ke semasa.

“Kita berharap sumbangan cecair pembasmi kuman ini dapat membantu barisan hadapan dan masyarakat di sini meningkatkan aspek kebersihan melibatkan pakaian dan kawasan kediaman mereka daripada dicemari virus seperti Covid-19,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here