MRM sumbang 1,000 pek bekalan asas untuk golongan asnaf, B40

0
147

CYBERJAYA – Sebanyak enam masjid dan surau di sekitar Lembah Klang menerima 600 kampit beras menerusi program Bank Makanan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang disumbangkan oleh Multiracial Reverted Muslim (MRM).

Antara masjid tersebut yang dipilih oleh Jawi ialah Masjid Ubaidah Sri Rampai, Masjid Salahudin Al-Ayyubi Taman Melati, Masjid Al-Hidayah Sungai Penchala, Masjid Al-Muqarrabin, Masjid Saidina Hamzah Kampung Batu Muda dan Surau Al-Khairiah.

Selain itu Pengasas MRM, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung berkata,  melalui kedai Raudhah Grocer Express (RGX) yang terletak di Shah Alam, Selangor, pihaknya turut menyumbangkan 1,000 pek bekalan asas bernilai RM50,000 kepada Bank Makanan Jawi.

Tambah beliau, pek bekalan asas itu diletakkan di masjid atau surau terpilih akan menjadi pusat pengedaran kepada asnaf dan B40 yang terjejas tanpa mengira bangsa dan agama.

“Setiap penerima akan menandatangani borang penerimaan untuk pihak surau dan masjid membuat susulan akan kebajikan mereka pada masa depan,” katanya menerusi hantaran akaun rasmi Facebook miliknya, semalam.

Beliau turut memaklumkan sepanjang bulan Ramadan ini walaupun RGX di Seksyen 24 Shah Alam yang dimiliki oleh MRM masih belum beroperasi tetapi pihaknya telah membelanjakan RM100,000 untuk menyediakan 2,000 pek bekalan asas kepada asnaf dan B40.

Beliau berkata, selain itu setiap hari RGX dan MRM menyediakan 350 pek juadah berbuka puasa kepada anggota barisan hadapan.

“Sumbangan itu juga diberikan kepada mereka yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan yang memakan belanja sebanyak RM52,500 dan mungkin akan meningkat mengikut keperluan serta kemampuan,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada penderma yang banyak menyumbang kepada usaha MRM dan akan meneruskan usaha itu selagi berkemampuan serta diberikan peluang oleh Allah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan menerusi akaun Maybank 564810520353 atas nama Pertubuhan Mualaf Berbilang Bangsa Kuala Lumpur dan Selangor. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here